Melaka Tunggu Lampu Hijau Persekutuan Untuk Operasi Semula ICQ

ALOR GAJAH, 1 April – Kerajaan Negeri Melaka masih menunggu kelulusan daripada kerajaan Persekutuan bagi pengoperasian semula Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Terminal Feri Antarabangsa Melaka-Dumai di Banda Hilir di sini.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata pengoperasian kompleks itu melibatkan beberapa prosedur yang perlu dipatuhi termasuk prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 selain perbincangan pembukaan sempadan antara Malaysia dengan Indonesia yang masih belum diputuskan.

“Setakat ini, pelancong yang datang ke Melaka hanya melalui jalan darat. Bagi laluan laut pula, kita menunggu (kelulusan) daripada kerajaan Persekutuan kerana ia melibatkan isu pembukaan sempadan…(laluan itu menjadi pilihan) pelancong dari Indonesia masuk ke Melaka menggunakan feri.

“Selain itu, keputusan berkenaan turut membabitkan beberapa agensi lain di peringkat Persekutuan seperti Jabatan Laut dan Jabatan Imigresen,” katanya kepada pemberita selepas Program Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Melaka dan Perasmian Pusat Ekonomi Digital (PEDi) Keluarga Malaysia Taman Bandar Baru Masjid Tanah di sini hari ini.

Kompleks ICQ Terminal Feri Antarabangsa Melaka-Dumai merupakan satu daripada akses masuk dan keluar rakyat dari Indonesia menerusi Dumai namun laluan tersebut ditutup ekoran penutupan sempadan antara Malaysia dan Indonesia berikutan penularan COVID-19.

Setakat ini, Malaysia masih menunggu kesediaan Indonesia dan Brunei untuk membenarkan pembukaan sempadan negara terbabit dan kerajaan sudah memaklumkan protokol am bagi kemasukan pengembara negara terbabit ke Malaysia selain bersedia mengadakan rundingan jika ada permintaan dari kedua-dua negara itu.

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata semua pemain industri pelancongan di negeri itu telah bersedia menerima kedatangan pelancong khususnya dari Singapura untuk berkunjung ke destinasi pelancongan di negeri berkenaan setelah pembukaan semula sempadan antara Malaysia dan Singapura bermula tengah malam tadi.

Beliau berkata kedatangan pengunjung Singapura ke Melaka dijangka turut meningkat tetapi semua pihak termasuk pemain sektor pelancongan dan pelancong disaran terus mematuhi SOP yang ditetapkan agar penularan COVID-19 dapat diputuskan.

“Walaupun kita berharap pembukaan sempadan ini akan membantu melonjakkan semula sektor ekonomi negeri dan juga rakyat, tetapi kita tidak boleh lalai atau cuai kerana jika tidak, kita bimbang berlaku peningkatan semula kes positif yang mendadak,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.