Malaysia, Indonesia Tingkat Kerjasama Pelaburan, Komoditi – PM Ismail Sabri

JAKARTA, 1 April – Pembangunan di kawasan sempadan Malaysia dan Indonesia akan diperhebatkan susulan pembukaan ibu negara Indonesia yang baharu, Nusantara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata kerajaan akan mengenal pasti kawasan-kawasan yang perlu dibangunkan itu sama ada di Malaysia atau di sebelah Indonesia.

“Saya berterima kasih kerana Bapak Presiden (Joko Widodo) bersetuju untuk kita turut mengenal pasti kawasan-kawasan yang akan dimajukan oleh pelabur dari Malaysia di bandar Nusantara nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Presiden Indonesia Joko Widodo setelah menyaksikan majlis permeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) PDI di Istana Merdeka, di sini, hari ini.

Menyentuh mengenai kelapa sawit, Ismail Sabri berkata kedua-dua negara bersetuju agar harga minyak kelapa sawit ditentukan bersama dan tidak bersaing dari segi penetapan harga.

Malaysia dan Indonesia merupakan pengeksport utama minyak sawit dan menguasai sebahagian besar pasaran eksport minyak sawit dunia. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.