Johor Kenal Pasti Tanah Kerajaan Untuk Rumah Mampu Milik
JOHOR BAHRU, 30 Mac – Kerajaan Johor sedang mengenal pasti tanah kerajaan di negeri ini yang bersesuaian untuk dibangunkan bagi tujuan perumahan mampu milik.
Menteri Besarnya Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata ini kerana beliau mendapati masih ramai rakyat Johor mengadu kepadanya mengenai isu tanah yang dihadapi mereka.
“Insya-Allah, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri Datuk Ashaari Kasnan dan para pegawai akan mengambil pendekatan secara tuntas berkenaan pemilikan tanah yang tertunggak dan membuat gerak kerja bagi menyelesaikan isu-isu ini dalam masa terdekat.
“Saya juga meminta pihak PTG untuk mengenal pasti tanah-tanah tersebut,” kata Onn Hafiz menerusi hantaran dalam laman Facebook rasminya.
Menurut beliau isu pemilikan tanah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) khususnya melibatkan generasi kedua juga harus diberi perhatian segera.
“Semoga segala usaha untuk membantu bangsa Johor dipermudahkan. Allah Peliharakan Sultan. Allah Berkati Johor,” katanya. – BERNAMA