Permohonan I-Push Bermula 1 April

KUANTAN, 29 Mac – Permohonan bagi Skim Pembiayaan Kewangan Usahawan Mikro Negeri Pahang (I-PUSH) dengan peruntukan sebanyak RM20 juta akan dibuka dalam tempoh sebulan bermula Jumaat ini (1 April), kata Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata pinjaman tanpa faedah itu dijangka memberi manfaat kepada lebih 2,500 usahawan yang terjejas akibat wabak COVID-19.

“Menerusi I-PUSH, pinjaman tanpa faedah turut diperkenalkan bagi tempoh lima tahun selain moratorium diberikan pada tahun pertama.

“Jumlah pembiayaan untuk setiap pemohon adalah antara RM3,000 hingga RM10,000 mengikut syarat yang ditetapkan,” katanya pada sidang media di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Antara syarat dikenakan ialah pemohon mestilah golongan B40 yang tidak bankrap, rakyat Pahang atau bermaustatin di Pahang melebihi 10 tahun, berumur atas 18 tahun, menjalankan perniagaan lebih 10 tahun sebelum atau pada Mac 2021 dan berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Beliau berkata pihaknya akan memudahkan urusan permohonan seiring dengan hasrat kerajaan negeri yang komited membantu usahawan membangunkan semula perniagaan mereka.

Maklumat lanjut berkenaan syarat dan permohonan boleh dibuat secara dalam talian menerusi laman web smu.pahang.gov.my.

Katanya, kerajaan negeri akan menjalinkan hubungan kerjasama dengan bank tempatan sebagai bank pelaksana atau ejen I-PUSH, bagi memastikan pembiayaan dapat mencapai kumpulan sasar. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.