TCA Tingkat Pertahanan, Gabungkan Pendekatan Pelbagai Agensi – Hishammuddin

KUALA LUMPUR, 28 Mac – Mesyuarat Peringkat Menteri Perjanjian Kerjasama Trilateral (TCA) hari ini bersetuju untuk memperluas TCA melangkaui bidang pertahanan semasa dengan menggabungkan pendekatan pelbagai agensi secara berkesan.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata TCA yang diwujudkan untuk menangani ancaman keselamatan maritim di perairan Malaysia, Indonesia dan Filipina perlu melibatkan kementerian dan agensi berkaitan di negara tersebut.

Selain itu beliau berkata mesyuarat itu juga bersetuju untuk menyegerakan penempatan Pegawai Perhubungan Peronda Maritim Trilateral (TMP LO) yang kekal di Pusat Pemerintahan Maritim setiap negara, bagi membolehkan pertukaran maklumat, pemantauan dan pelaksanaan aktiviti pengawasan maritim dan udara yang berkesan.

“Mesyuarat juga bersetuju untuk memastikan penekanan yang lebih besar dalam risikan untuk operasi pengawasan masa depan bagi meningkatkan produktiviti dan ketepatan dalam mengekang aktiviti jenayah keganasan di rantau ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media bersama rakan sejawatannya dari Indonesia, Prabowo Subianto dan Filipina, Delfin N. Lorenzana selepas mempengerusikan mesyuarat itu.

Mesyuarat Peringkat Menteri TCA diadakan di luar Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2022 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini hari ini.

Hishammuddin juga menyatakan semasa mesyuarat itu, beliau dan rakan-rakannya juga telah memberi mandat kepada pegawai kanan mereka untuk mengambil beberapa tindakan termasuk menginstitusikan Mesyuarat Peringkat Menteri TCA yang akan diadakan sekurang-kurangnya setiap tahun untuk meningkatkan penglibatan strategik dan komitmen antara ketiga-tiga negara.

Beliau berkata pegawai kanan setiap negara juga akan diminta untuk meningkatkan kehadiran di perairan, memperkukuh gabungan kekuatan untuk mencegah ancaman keselamatan di Laut Sulu dan Sulawesi selain meneroka potensi latihan darat yang akan diterajui oleh Ketua-Ketua Angkatan Pertahanan Negara.

Hishammuddin menegaskan bahawa TCA telah memainkan peranan penting dalam bertindak sebagai penghalang terhadap tindakan jenayah keganasan di Laut Sulu dan Sulawesi.

“Bukti kejayaannya ialah sifar penculikan untuk wang tebusan (KFR) yang dilaporkan pada tahun 2021. Kami telah menunjukkan kepada dunia bahawa kerjasama keselamatan serantau yang kukuh adalah langkah ke hadapan,” katanya.

Sementara itu, Prabowo pada sidang media, menyifatkan Malaysia dan Filipina sebagai rakan rapat dan mempunyai budaya sejarah yang kukuh serta berkongsi kepentingan dan ancaman bersama.

“Oleh itu TCA ini sangat penting, strategik dan kami ingin melihat ia ditingkatkan, jadi kami mengalu-alukan keputusan yang dicapai hari ini dan menantikan pelaksanaannya,” kata beliau.

Berkongsi pendapat yang sama, Lorenzana berkata beliau tidak sabar untuk meningkatkan hubungan antara Filipina, Malaysia dan Indonesia melalui TCA.

“TCA telah berjaya dan sudah sampai masanya untuk meningkatkan tahap serta melibatkan agensi-agensi lain untuk menjaga sempadan negara daripada diceroboh,” tambah beliau.

Untuk rekod Mesyuarat Peringkat Menteri TCA yang terakhir diadakan pada September 2018 di Manila. – BERNAMA