Syarikat Telco Digesa Naik Taraf Perkhidmatan Internet Di Luar Bandar, Pedalaman – MenKOMM

PAPAR, 28 Mac – Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa hari ini menggesa syarikat telekomunikasi di negara ini, untuk lebih proaktif menaik taraf perkhidmatan internet di menara telekomunikasi sedia ada, terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Beliau berkata penyertaan lebih proaktif daripada syarikat telekomunikasi terbabit amat diperlukan, dalam usaha membantu kerajaan meningkatkan liputan internet sekali gus memastikan semua penduduk di kawasan berkenaan, dapat turut sama menikmati capaian internet lebih efisien dan berkualiti.

Katanya beliau ingin melihat syarikat telekomunikasi lebih proaktif dalam membantu hasrat kerajaan untuk memperluaskan kesalinghubungan dan meningkatkan kualiti internet, selain usaha yang dijalankan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), melalui dana Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP).

“Ini kerana, jika kerajaan sahaja yang buat agak lambat, dan kita (kerajaan) hanya menyediakan infrastruktur sahaja, tetapi perkhidmatan masih lagi dikendalikan oleh syarikat telekomunikasi dan bukannya kerajaan. Saya harap ada satu kerjasama lebih bagus, selama ini pun bagus.

“Bukan nak suruh pergi ke tempat memerlukan pelaburan besar, tetapi menaik taraf perkhidmatan di menara sedia ada, agar selari dengan usaha kita sedang menaik taraf stesen pemancar bersesuaian dengan perkhidmatan 4G,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, Annuar meninjau dua menara telekomunikasi masing-masing terletak di Kampung Daingin dan Kampung Gadong, dan melawat Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) di Kampung Langkuas, Kinarut dekat sini.

Sementara itu, Annuar berkata pelbagai inisiatif menerusi Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), dilaksanakan kerajaan untuk meningkatkan kesalinghubungan di Papar termasuk membina lima menara telekomunikasi baharu, dengan dua daripadanya telah siap dibina dan tiga lagi sedang dalam pelaksanaan.

Beliau berkata kerja-kerja menaik taraf 75 stesen pemancar kepada rangkaian 4G juga sedang giat dijalankan, dengan 74 daripadanya telah siap, dengan sebanyak 3,570 premis di daerah itu telah dirancang untuk diliputi dengan rangkaian gentian optik.

Setakat ini, katanya sebanyak 2,534 premis telah dilengkapi gentian optik, dengan kerja-kerja pelaksanaan ke atas 1,036 premis lagi sedang berjalan; manakala bagi projek Perkhidmatan Jalur Lebar Tanpa Wayar pula, dua lokasi telah siap untuk projek itu dan satu lokasi lagi masih dalam pelaksanaan.

Annuar berkata sebanyak tiga sekolah di Papar telah dikenal pasti untuk pelaksanaan titik kehadiran atau ‘Point of Presence’ (PoP) bagi Fasa 1 dan enam sekolah (Fasa 2), dalam usaha memastikan jaringan dan liputan jalur lebar dapat diperluaskan dengan lebih baik, ke kawasan sekitar sekolah dan berpenduduk.

Mengulas mengenai PEDi, Annuar berkata sebanyak 177 PEDi lagi akan ditambah, sekali gus menjadikan 1,088 PEDi akan beroperasi di seluruh negara, dan ini adalah selaras dengan sasaran kerajaan untuk mewujudkan sekurang-kurangnya satu PEDi dalam setiap Dewan Undangan Negeri.

“Kerja-kerja menaik taraf akan dilakukan secara berperingkat, kerana ia turut memerlukan kerjasama daripada syarikat telekomunikasi dan MCMC, selain Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) yang akan menyediakan kandungan untuk menjalankan kursus.

“Rata-rata sambutan adalah sangat menggalakkan, dan saya turut melihat golongan ibu tunggal dan orang kurang upaya dapat menjalankan perniagaan secara dalam talian,” katanya sambil menambah, fokus utama PEDi adalah untuk melahirkan dan memperkasa usahawan kecil ke arah pendigitalan inovatif serta berdaya saing.

Annuar berkata konsep program peranti komuniti juga akan diperluaskan ke setiap PEDi, untuk membolehkan individu yang tidak mempunyai peranti mudah alih, dapat menggunakan peralatan tersebut secara pinjaman seterusnya memudahkan mereka menjalankan perniagaan secara dalam talian. – BERNAMA