Johor, Persekutuan Kerjasama Pastikan Pembukaan Semula Sempadan Malaysia-Singapura Lancar

JOHOR BAHRU, 27 Mac – Kerajaan Johor dan Kerajaan Persekutuan terus bekerjasama bagi memastikan persediaan pembukaan semula sempadan negara melibatkan sempadan darat Malaysia dan Singapura pada Jumaat ini, berjalan lancar.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata beliau juga telah mempengerusikan mesyuarat Task Force Persediaan Pembukaan Sempadan dan akan terus memantau kesiapsiagaan.

“Terima kasih kepada semua pihak dan agensi yang terus bertungkus lumus bagi menjayakan pembukaan sempadan ini.

“Semoga segala urusan kita dipermudahkan. Allah Peliharakan Sultan. Allah Berkati Johor,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook rasmi beliau hari ini.

Jumaat lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong, menerusi kenyataan bersama yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri Malaysia dan Pejabat Perdana Menteri Republik Singapura, memaklumkan kedua-dua negara bersetuju untuk membuka sepenuhnya sempadan darat bagi pengembara yang telah lengkap vaksinasi mulai 1 April, selaras dengan fasa peralihan ke endemik.

Malaysia dan Singapura juga akan membenarkan pengembara yang telah lengkap vaksinasi untuk merentas sempadan darat tanpa perlu menjalani kuarantin atau melaksanakan ujian COVID-19, termasuk ujian prapelepasan dan semasa ketibaan. – BERNAMA