Exco Baharu Mahu Fokus Kemakmuran, Kepentingan Rakyat Johor

JOHOR BAHRU, 26 Mac – Barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor yang baharu akan terus fokus kepada kemakmuran bagi memastikan ekonomi dan kepentingan rakyat negeri ini sentiasa terpelihara.

Mereka berikrar akan melakukan yang terbaik demi negeri selain melahirkan ucapan penghargaan kepada Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar dan Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi atas kepercayaan untuk menggalas amanah yang diberikan.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri Mohd Fared Khalid berharap semua rakyat tanpa mengira agama, bangsa dan fahaman politik dapat bersama-sama membawa Johor mencapai masa depan lebih cemerlang.

“Sebagai orang baharu, ini adalah peluang yang sangat bermakna, saya perlu cepat belajar untuk mengetahui apa boleh dilakukan dan sebaliknya, paling penting semua dasar yang baik akan diteruskan terutamanya perkara telah diperkenankan oleh Tuanku Sultan Johor.

“Diharapkan bangsa Johor dapat beri peluang kepada 70 peratus orang muda dan gabungan orang lama untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerah itu kepada pemberita selepas sidang media di kediaman rasmi menteri besar, di sini hari ini.

ADUN Larkin Mohd Hairi Mad Shah yang dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia, pula berkata meskipun ia adalah satu amanah sangat berat, namun berjanji untuk melakukan yang terbaik.

“Saya minta rakyat Johor bersama-sama memberi sokongan bagi memastikan negeri ini terus gemilang dan mandat rakyat yang diberikan kepada 40 ADUN Barisan Nasional (BN) tidak akan disia-siakan. Apapun waktu berpolitik sudah habis sekarang waktu bekerja dan tumpukan kepada pembangunan serta memperkasakan rakyat,” katanya.

Bagi ADUN Yong Peng Ling Tian Soon yang menggalas tugas sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan berkata akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan bagi membincangkan serta menyusun rancangan yang boleh dilakukan untuk bangsa Johor dalam memasuki fasa endemik.

“Saya akan mendapatkan maklumat daripada jabatan berkaitan, esok saya akan berjumpa mereka, selepas itu barulah kita boleh susun rancangan seterusnya. Kita kena buat persiapan paling elok untuk sempadan negara khususnya melibatkan sempadan darat Malaysia dan Singapura yang akan dibuka bermula 1 April ini,” kata Ketua Pemuda MCA Johor itu.

Sementara itu, ADUN Paloh Lee Ting Han yang memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna, beliau sudah bersedia melakukan tugas untuk menarik lebih ramai pelabur ke negeri ini bagi memastikan ekonomi negeri terus bergerak maju memandangkan asasnya sudah sedia ada.

“Pastilah kita mahu tunaikan impian BN yang mahukan janji-janji ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor terlaksana termasuk merancakkan ekonomi kerana sempadan akan dibuka 1 April, kita mahu tarik pelabur termasuk dari Singapura, China dan negara lain supaya ekonomi Johor bertambah baik sekali gus kehidupan rakyat jadi lebih baik,” katanya.

Turut berada dalam barisan Exco adalah ADUN Bukit Permai yang memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor Datuk Mohd Jafni Md Shukor, yang juga fasih bertutur Bahasa Mandarin.

“Saya akan berjumpa dengan dengan semua agensi di bawah portfolio khasnya pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mengetahui perkembangan dan status terkini mengenai segala perancangan yang telah dibuat di negeri ini,” katanya.

Bagi ADUN Buloh Kasap Datuk Zahari Sarip yang dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, beliau akan meneliti dan menambah baik segala kekurangan dalam porfolionya bagi memastikan bangsa Johor khususnya di luar bandar mendapat manfaat sama.

Tidak ketinggalan dua Exco wanita iaitu Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Norlizah Noh yang juga ADUN Johor Lama dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Khairin Nisa Ismail yang juga ADUN Serom, masing-masing menyatakan pelantikan itu membuktikan peranan dan kepemimpinan wanita terus mendapat pengiktirafan serta penghormatan daripada kerajaan negeri.

Norlizah berkata pihaknya akan mengadakan pertemuan bersama ketua jabatan termasuk wakil petugas media bagi meneliti dan membincangkan program dan aktiviti yang boleh dilakukan, manakala Khairin Nisa memaklumkan pelantikannya dalam memegang jawatan itu adalah amanah yang perlu digalas dengan ikhlas dan jujur.

Terdahulu, 10 ADUN mengangkat sumpah jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor di hadapan Sultan Johor di Balai Menghadap, Istana Bukit Serene, pagi ini.

Pelantikan barisan exco kerajaan negeri yang baharu adalah susulan kemenangan BN memperolehi majoriti lebih dua pertiga ketika PRN Johor pada 12 Mac lepas. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.