RISDA Peruntuk RM2.5 Juta Untuk Tuisyen Rakyat, Manfaat 3,000 Pelajar

LIPIS, 25 Mac – Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) memperuntukkan RM2.5 juta bagi pelaksanaan Program Tuisyen Rakyat yang akan memanfaatkan 3,000 anak pekebun kecil yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Timbalan Menteri Kementerian Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata kelas bimbingan percuma itu memberikan tumpuan kepada subjek utama seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains, Matematik dan Sejarah.

Sebanyak 200 pusat tuisyen akan beroperasi di seluruh negara dalam pelaksaaan program itu dengan 15 pelajar bagi setiap satu, dengan pemilihan pelajar dibantu oleh pejabat pendidikan daerah (PPD).

“Program ini bagi membantu meningkatkan prestasi akademik generasi baharu pekebun kecil yang mungkin berdepan kekangan untuk mengikuti kelas tuisyen di luar kerana perlu membayar yuran dan sebagainya.

“Sejak dilaksanakan beberapa tahun dahulu, kami dapati prestasi pelajar yang terlibat juga semakin baik dan diharapkan mereka dapat mengubah nasib keluarga,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan bantuan persekolahan dan merasmikan Program Tuisyen Rakyat RISDA bagi negeri Pahang di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar Dan Hal Ehwal Orang Asli negeri Datuk Abd Aziz Mat Kiram, Pengarah RISDA Pahang Esa Rahimin dan Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA) negeri Soffian Mustaffa.

Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Lipis berkata 25 pusat Tuisyen Rakyat diwujudkan di Pahang bagi membantu 375 pelajar dengan peruntukan sebanyak RM312,500.

Mengulas mengenai bantuan persekolahan, Abdul Rahman berkata sumbangan menerusi Yayasan RISDA berjumlah RM73,800 itu diberikan kepada 369 pelajar sekolah rendah dan menengah sekitar daerah ini dengan setiap seorang menerima RM200.

“Sumbangan ini diharapkan dapat membantu mereka menyediakan keperluan sekolah selain meningkatkan motivasi pelajar untuk memulakan sesi persekolahan baharu,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.