Melaka Bangunkan Sistem Permohonan Kemasukan Pelajar Ke IPT Negeri

MELAKA, 24 Mac – Kerajaan negeri Melaka sedang membangunkan sistem permohonan kemasukan pelajar ke institusi pengajian tinggi di negeri itu yang dikenali sebagai ‘Melaka UPU Online’, kata Exco Pendidikan dan Teknologi negeri Datuk Rais Yasin.

Beliau berkata sistem yang akan menjadi platform bagi memudahkan permohonan kemasukan ke univeristi awam dan swasta di negeri itu, dijangka siap akhir tahun ini.

“Kami sudah maklumkan ke peringkat Persekutuan bahawa kami mempunyai sistem UPU Online, namun sistem Melaka UPU Online ini hanya menghimpunkan universiti yang ada di Melaka bagi memudahkan pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran di negeri ini.

“Kami mempunyai kira-kira 32 universiti awam dan swasta di dalam sistem ini, dengan Universiti Melaka (UniMel) menjadi ‘anchor’ memandangkan universiti tersebut milik kerajaan negeri,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Sijil Kolaborasi (CoC) Bersama Rakan Strategik Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Perempuan Melayu Durian Daun di sini, hari ini.

Beliau berkata sistem berkenaan boleh digunakan bukan sahaja oleh anak Melaka malah pelajar yang lahir di luar negeri itu.

Dalam perkembangan lain, katanya UniMel yang sebelum ini dikenali sebagai Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) menyasarkan pengambilan kemasukan pelajar mencecah 5,000 orang menjelang akhir tahun ini, berbanding kira-kira 3,000 pelajar ketika ini.

Rais berkata UniMel yang dinaik taraf sebagai universiti penuh pada 10 Feb lepas akan melaksanakan pelbagai transformasi dalam semua aspek bagi memastikan pengoperasiannya selari dengan status baharu yang diterima.

“Saya dimaklumkan lebih banyak fakulti baharu akan diwujudkan untuk memberi pilihan tawaran lebih banyak kepada pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran ke UniMel dan menambah tenaga pengajar berkualiti.

“Setakat ini, UniMel bukan sahaja mempunyai pelajar tempatan tetapi juga pelajar luar negara. Misalnya, lebih 30 pelajar China melanjutkan pengajian di peringkat PhD (ijazah Doktor Falsafah),” katanya.

Terdahulu, beliau berkata 12 institusi pendidikan di Melaka menandatangani CoC dengan IPG Kampus Perempuan Melayu Durian Daun dalam usaha meningkatkan lagi kualiti pengajaran serta membangunkan modal insan yang lebih cemerlang dalam kalangan warga pendidik.

“CoC yang dilaksanakan ini meliputi perkongsian latihan dan kursus dalam pembangunan insaniah, pedagogi pengajaran dan pembelajaran terkini kepada pensyarah dan mahasiswa,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.