MB Johor Bertemu PM Bincang Pembukaan Semula Sempadan Malaysia-Singapura

JOHOR BAHRU, 24 Mac – Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi hari ini bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai pembukaan semula sempadan Malaysia-Singapura.

Dalam hantaran di Facebook rasminya hari ini, beliau berkata dalam pertemuan itu, mereka telah berbincang mengenai pembukaan semula sempadan kedua-dua negara.

“Insya-Allah, ada berita baik berkenaan pembukaan semula sempadan Malaysia-Singapura dan ia akan diumumkan dalam masa terdekat ini.

“Semoga setiap apa yang dirancang dapat dilaksanakan dengan baik demi bangsa Johor dan rakyat Malaysia secara keseluruhan,” kata beliau dalam hantaran itu.

Semalam, Onn Hafiz menerusi hantaran di Facebook, telah membayangkan kemungkinan pembukaan sempadan Malaysia-Singapura menerusi Johor dilaksanakan dalam masa terdekat.

Untuk itu, beliau telah bertemu Konsul Jeneral Singapura di Johor Bahru Jeevan Singh, malam tadi.

Ahli Dewan Undangan Negeri Machap itu dijadualkan menghadiri mesyuarat penyelarasan di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar bersama agensi terlibat bagi memastikan kesiapsiagaan pembukaan sempadan Malaysia-Singapura.

Pada 8 Mac lepas, Ismail Sabri telah mengumumkan sempadan negara akan mula dibuka pada 1 April ini. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.