KPT Cadang Laksana APEL M Akhir Tahun Ini – Noraini

KUALA LUMPUR, 24 Mac – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bercadang untuk melaksanakan Akreditasi Pembelajaran Pengalaman Terdahulu (APEL) pengumpulan kelayakan mikro APEL (M) pada akhir tahun ini, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) menggalakkan institut pengajian tinggi (IPT) di Malaysia menawarkan kelayakan mikro melalui penerbitan garis panduan.

Noraini Ahmad

“Usaha ini telah menunjukkan hasil di mana Malaysia telah berada di kedudukan kedua dari Australia dalam penglibatan kelayakan mikro ini,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin (PH-Hang Tuah Jaya) yang ingin tahu bagaimana kementerian memperkenalkan kelayakan mikro sebagai penambahan APEL.

Menjawab soalan asal Shamsul Iskandar mengenai sejauh mana sambutan inisiatif pengajian sepanjang hayat melalui kaedah APEL, Noraini berkata sebanyak 5,737 permohonan APEL secara keseluruhan telah diterima oleh MQA setakat ini dan daripada jumlah itu, 4,111 permohonan adalah dari sektor kerajaan, badan berkanun dan sektor swasta.

Beliau juga menjelaskan tiga badan profesional telah menerima APEL sebagai satu daripada program pengajian iaitu Lembaga Teknologi Malaysia, Lembaga Jurutera Malaysia dan Lembaga Perancangan Bandar Malaysia.

“Selain pasaran domestik, MQA berjaya melebarkan APEL di luar negara dengan kerjasama Emiriah Arab Bersatu, Australia, Hong Kong, Perancis, United Kingdom dan negara ASEAN di bawah ASEAN Quality Assurance and Network,” katanya.

APEL yang dilancarkan sebelum ini untuk kemasukan ke IPT dikenali sebagai APEL (A) (Access) manakala APEL (C) (Credit) bagi mendapatkan pindahan kredit.

APEL (A) memberi peluang kepada mereka yang mempunyai pengalaman kerja, tetapi kurang kelayakan atau tiada kelayakan akademik untuk menyambung pelajaran ke program ijazah sarjana muda di IPT.

APEL (C) ialah kaedah penilaian ilmu yg diperoleh daripada pengalaman kerja, pengalaman hidup atau himpunan kursus pendek bagi tujuan mendapatkan pindahan kredit untuk mata pelajaran dalam program akademik di IPT. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.