Sultan Johor Kurnia DMIJ Kepada Empat Individu

JOHOR BAHRU, 23 Mac – Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar berkenan mengurniakan Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Yang Kedua, Dato’ Mulia Sultan Ibrahim Johor (DMIJ) kepada empat individu bersempena sambutan ulang tahun keputeraan rasmi baginda hari ini.

Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan DMIJ, yang membawa gelaran Datuk kepada Pengarah Tanah dan Galian Johor Ashari Kasnan; Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Sukan, Belia dan Sukarelawan) On Jabbar @ Ja’afar; dan Pegawai Daerah Muar Mustaffa Kamal Shamsudin.

Turut dikurniakan DMIJ yang membawa gelaran Datin Paduka, Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor Suhailizan Suliman.

Sementara itu, baginda turut berkenan mengurniakan Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Ketiga, Setia Mulia Sultan Ibrahim Johor (SIJ) kepada empat individu.

Darjah SIJ dikurniakan kepada Pengarah Jabatan Laut Wilayah Selatan Dickson Dollah; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kluang Norliyati Md Noor; Setiausaha Bahagian ICT@Johor Ungku Suzana Ungku Mohammad dan Timbalan Pengarah Pendidikan Agama, Jabatan Agama Islam Negeri Johor, Yosree Ikhsan.

Turut berangkat ke majlis pengurniaan darjah bersempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Baginda yang berlangsung di Balai Mengadap Istana Bukit Serene, di sini hari ini ialah Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Berangkat sama Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Al-Haj Sultan Ibrahim. – BERNAMA

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.