Pengurusan 1MDB Tipu Najib Berhubung Perjanjian Pelaburan – Saksi

KUALA LUMPUR, 23 Mac – Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu pihak pengurusan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah menipu bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan lembaga pengarah (BOD) syarikat itu untuk memeterai perjanjian pelaburan dengan rakan perniagaannya, PetroSaudi International Limited (PSI).

Bekas Pengarah Bukan Eksekutif 1MDB Tan Sri Ismee Ismail, 58, yang bersetuju dengan cadangan peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, juga mengakui bahawa beberapa anggota pengurusan telah mengelirukan Najib dan BOD dengan membuat cadangan terperinci untuk menandatangani perjanjian pelaburan itu.

Peguam itu kemudian mencadangkan bahawa cadangan tersebut dibuat oleh bekas Peguam 1MDB Jasmine Loo Ai Swan, bekas Ketua Pegawai Kewangan Azmi Tahir dan Casey Tang Keng Chee (bekas Pengarah Eksekutif) dan Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi (bekas Ketua Pegawai Eksekutif) (CEO).

Muhammad Shafee: Ini adalah 100 peratus penipuan. Semua cadangan itu dibuat oleh pihak pengurusan 1MDB. Ia dibuat secara terperinci oleh pihak pengurusan. Ismee menjawab “ya”.

Peguam kanan itu merujuk kepada perjanjian yang 1MDB bersetuju untuk menukar 40 peratus kepentingannya dalam syarikat usaha sama 1MDB-PetroSaudi International Limited yang dibelinya pada harga US$1 bilion, kepada pinjaman Islam kepada syarikat yang sama.

Perjanjian itu menyaksikan 1MDB bersetuju untuk menjual 40 peratus saham kepada syarikat usaha sama itu, dengan memberikan pinjaman Islam melalui nota Murabahah kepada syarikat usaha sama tersebut pada nilai US$1.2 bilion.

Dengan penukaran kepada nota Murabahah, syarikat usaha sama itu di atas kertas akan berhutang US$1.2 bilion kepada 1MDB, dan secara berkesan berjaya memberikan 1MDB keuntungan atas kertas US$200 juta selepas mengambil kira permulaan US$1 bilion.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai penukaran kepada nota Murabahah, Muhammad Shafee memberitahu mahkamah bahawa pengurusan 1MDB melakukan pertunjukan silap mata, iaitu dana kekayaan negara akan mendapat US$1.2 bilion dalam bentuk kertas, bukan wang tunai sebenar.

Muhammad Shafee: Daripada keterangan Shahrol Azral, kami mendapat tahu dia diarahkan oleh ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low, kononnya ia adalah daripada Najib untuk melakukan (cadangan) ini. Ia adalah kertas kerja yang sangat terperinci yang cukup meyakinkan untuk BOD. Anda bersetuju dengan saya? Ismee menjawab “ya”.

Muhammad Shafee: Dalam imaginasi anda, adakah anda fikir Najib, PM ketika itu akan terlibat dalam mengarahkan bagaimana untuk menipu 1MDB? Bolehkah anda bayangkan? Ismee menjawab “Saya tidak fikir mana-mana PM mempunyai masa untuk itu”.

Kepada soalan lain, saksi pendakwaan ke-13 itu juga bersetuju bahawa 1MDB menghadapi kesukaran semasa proses pengauditan yang dijalankan oleh firma audit iaitu Ernst & Young (E&Y) mempersoalkan mengenai US$700 juta yang dipindahkan daripada 1MDB kepada usaha sama itu.

Muhammad Shafee: Adakah anda bersetuju dengan saya bahawa pihak pengurusan telah mengambil masa yang lama dan tidak menjawab pertanyaan E&Y? Ismee menjawab “ya”.

Sebelum ini, dilaporkan bahawa US$1 bilion 1MDB dimasukkan ke dalam usaha sama itu dan ia dibayar dalam dua peringkat iaitu US$700 juta dan US$300 juta.

Sebanyak US$300 juta disalurkan kepada syarikat usaha sama itu manakala US$700 juta dibayar kepada Good Star Limited, sebuah syarikat milik Jho Low.

Muhammad Shafee: Shahrol Azral (bekas CEO 1MDB) adalah dalangnya kerana dia bekerjasama dengan Jho Low dan dia telah mengelirukan seluruh BOD. Inilah sebabnya mengapa 1MDB menghadapi masalah hari ini. Ismee menjawab “yup”.

Najib, 68, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. – BERNAMA