Kerajaan Sedia Pelan Perlindungan Insurans Akibat Kematian Ketua Isi Rumah – PM

KUALA LUMPUR, 23 Mac – Kerajaan akan menyediakan Pelan Perlindungan Insurans kepada Isi Rumah (IR) Miskin yang kehilangan punca pendapatan akibat kematian Ketua IR dengan peruntukan RM13.4 juta setahun, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata ia akan melibatkan kira-kira 268,000 keluarga miskin yang berdaftar dalam eKasih.

“Setiap isi rumah akan menerima RM10,000 dengan peruntukan sebanyak RM13.4 juta setahun,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Perlindungan Sosial Malaysia (MySPC) Bilangan Satu Tahun 2022 di Bangunan Parlimen hari ini.

Ismail Sabri berkata mesyuarat itu juga bersetuju agar tahap sosioekonomi Keluarga Malaysia ditingkatkan dengan memberi nilai tambah dan tumpuan kepada Program Peningkatan Pendapatan bagi Ketua Isi Rumah (KIR) Miskin dan Miskin Tegar yang berdaftar dalam eKasih.

Katanya perkara lain yang dipersetujui ialah memperkasa agenda perlindungan sosial sehingga ke peringkat daerah pentadbiran menerusi Jawatankuasa Teknikal Perlindungan Sosial Negeri (JTPSNg) bagi menyelaras Pemetaan Program dan Profil Perlindungan Sosial Fasa Dua.

“Selain itu mesyuarat juga bersetuju agar Malaysia Productivity Corporation (MPC) diberi tanggungjawab menerajui Jawatankuasa Kerja Memodenkan Subsidi Bagi Meningkatkan Produktiviti,” kata Ismail Sabri.

Menurutnya langkah-langkah yang diputuskan dalam mesyuarat itu akan membantu memantapkan agenda perlindungan sosial untuk mencapai sasaran miskin tegar sifar menjelang tahun 2025 seperti dihasratkan Kerajaan dalam Rancangan Malaysia ke-12.

“Pandemik COVID-19 telah menyedarkan semua pihak tentang kelemahan sistem perlindungan sosial kebanyakan negara di seluruh dunia termasuk Malaysia.

“Justeru kerajaan menerusi Majlis Perlindungan Sosial Malaysia telah mengenal pasti mekanisme perlindungan sosial yang lebih dinamik, fleksibel serta mampu bertindak balas dengan sebarang risiko yang dihadapi oleh Keluarga Malaysia,” katanya.

Terdahulu Ismail Sabri melancarkan Pangkalan Data Perlindungan Sosial (PDPS) Fasa 1: Bantuan Sosial (Persekutuan) yang menjadi laluan tunggal serta sumber rujukan utama program-program perlindungan sosial.

Ia melibatkan 167 program daripada 17 kementerian atau agensi yang mengandungi 13.7 juta data profil individu penerima manfaat sehingga tahun 2020, termasuk program perlindungan sosial merentasi pelbagai kementerian atau agensi seperti elemen Pekerjaan, Insurans Sosial dan Bantuan Sosial.

“Akses penuh sistem ini kepada orang awam dan semua pihak berkepentingan akan dibuka setelah Modul Insurans Sosial dan Intervensi Pasaran Buruh siap dibangunkan selepas 2023. – BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.