Pesawat Terhempas: PM Ucap Takziah Kepada Kerajaan China

KUALA LUMPUR, 22 Mac – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merakamkan ucapan takziah kepada kerajaan China di atas tragedi pesawat penumpang Boeing 737-800 milik China Eastern Airlines yang terhempas semalam.

Beliau menerusi catatan di akaun Facebook turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa pesawat itu dan berharap mereka tabah dalam menghadapi ujian tersebut.

“Saya sedih apabila mendapat perkhabaran tentang pesawat penumpang Boeing 737-800 milik China Eastern Airlines yang terhempas dan mengorbankan 132 penumpang dan anak kapal di wilayah Guangxi, China, semalam.

“Saya dan seluruh Keluarga Malaysia mengucapkan takziah yang mendalam kepada kerajaan China dan keluarga mangsa,” katanya.

Menurut laporan media, sebuah pesawat yang membawa 132 penumpang terhempas di Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang, selatan China pada Isnin petang.

Pesawat Boeing 737 yang berlepas dari Kunming menuju ke Guangzhou itu terhempas di kawasan pergunungan berhampiran perkampungan Molang di daerah Tengxian, bandar Wuzhou pada 2.38 petang. Nahas itu turut mengakibatkan kebakaran.

Wisma Putra dalam kenyataannya hari ini memaklumkan setakat ini tiada laporan mengenai rakyat Malaysia terlibat dalam nahas itu. – BERNAMA