Permohonan Program Pembiayaan Mikro Penjaja, Peniaga Kecil Dibuka

TEMERLOH, 22 Mac – Permohonan bagi Program Pembiayaan Mikro untuk Penjaja dan Peniaga Kecil yang keseluruhannya melibatkan peruntukan RM48.52 juta telah dibuka mulai semalam, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Tan Sri Noh Omar.

Beliau berkata mereka yang berminat boleh memohon di Bank Rakyat dengan satu daripada syarat yang dipermudahkan ialah mengetepikan proses agensi pelaporan kredit CTOS dan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) sebagai usaha membantu pihak terlibat membangunkan semula perniagaan sedia ada.

“Pembiayaan ini tidak mempunyai bayaran faedah dan diberikan moratorium selama setahun dengan perniagaan tidak formal boleh meminjam RM10,000 manakala bagi perniagaan mikro mereka boleh meminjam sehingga RM50,000.

“Permohonan juga akan cuba diluluskan dalam tempoh cepat dan jika boleh, kita akan menetapkan seminggu sebagai tempoh proses,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Geran Bantuan Banjir Keluarga Malaysia (BBKM) negeri Pahang di Dewan Tun Razak di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna negeri Datuk Nazri Ngah serta Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi negeri Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin.

Pada 3 Dis lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa merasmikan Majlis Sambutan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan 2021 mengumumkan peruntukan RM48.52 juta bagi program tersebut sebagai tanda komitmen berterusan kerajaan dalam menjaga kebajikan golongan tersebut.

Pembiayaan yang dimohon itu, menurut Perdana Menteri boleh digunakan bagi tujuan pemulihan perniagaan seperti modal pusingan, pembelian peralatan atau perkakasan, bayaran gaji, bayaran sewa, bil utiliti dan lain-lain.

Mengulas mengenai BBKM, Noh berkata kementeriannya menerusi TEKUN Nasional telah menyalurkan geran bernilai RM10.2 juta di Pahang kepada 3,400 usahawan terdiri daripada peniaga tidak formal dan mikro yang terkesan banjir.

Setiap mereka menerima bantuan berjumlah RM3,000 secara ‘one-off’ atau sekali sahaja yang tidak perlu dibayar balik.

Secara keseluruhan, Noh berkata seramai 16,666 usahawan terjejas banjir menerima bantuan itu yang melibatkan peruntukan keseluruhan bernilai RM50 juta.

Beliau berkata setakat ini, 16,058 permohonan telah diterima di seluruh negara dengan 9,688 permohonan telah diluluskan manakala 6,370 permohonan masih dalam proses penilaian dengan majoritinya melibatkan permohonan di Terengganu dan Kelantan yang akan diagih dalam masa terdekat. – BERNAMA