Caruman KWSP, Perkeso Artis Antara Dibincang Dalam Task Force Industri Kreatif – Zahidi

KUALA LUMPUR, 21 Mac – Isu membabitkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) serta perlindungan insurans bagi golongan artis dan penggiat seni bebas merupakan antara perkara dibincangkan di bawah Task Force Industri Kreatif.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata Task Force berkenaan akan meneliti dan memudah cara langkah-langkah penambahbaikan industri kreatif termasuk dari segi kebajikan penggiat seni termasuk artis, pelakon serta pekerja belakang tabir.

Jelasnya pandangan dan maklum balas sebagai input penting untuk melaksanakan inisiatif berkenaan juga diperoleh daripada Persatuan Pengeluar Filem (PFM), Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA) dan Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM).

Beliau berkata demikian menjawab soalan Dr Maszlee Malik (PH-Simpang Renggam) yang ingin tahu usaha dan insentif Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) untuk membantu pelakon dan artis menyimpan atau menabung di KWSP demi masa depan dan saraan hari tua mereka di Dewan Rakyat hari ini.

Menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PAS-Pasir Mas) berhubung royalti penggiat seni, Zahidi berkata K-KOMM sedang berbincang tentang bagaimana untuk mempergiatkan lagi usaha menjaga kebajikan artis termasuk dalam hal membabitkan royalti.

Mengenai perancangan kementerian itu bagi menjaga kebajikan artis veteran pula, beliau berkata input daripada persatuan artis juga diambil bagi mencari langkah menjaga kebajikan golongan itu memandangkan terdapat laporan ada antara mereka yang terlantar sakit dan dihalau dari rumah.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PH-Balik Pulau) yang ingin tahu perancangan K-KOMM bagi menjaga kebajikan artis veteran. – BERNAMA