Exco Johor Bakal Dilantik Perlu Isytihar Harta, Lalui Semakan Latar Belakang

JOHOR BAHRU, 17 Mac – Calon Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor yang bakal dilantik perlu membuat pengisytiharan harta, selain melalui semakan latar belakang yang menyeluruh dengan Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar.

Baginda bertitah demikian ketika berkenan menerima mengadap Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi yang berlangsung kira-kira sejam, dekat sini, semalam.

Titah Sultan Ibrahim, dengan berakhirnya Pilihan Raya Johor, sudah tiba masanya untuk semua wakil rakyat merapatkan barisan dan bekerja bersama-sama dalam memakmurkan Johor.

“Saya pegang kata-kata Datuk Hasni Mohammad, tiada ideologi ahli politik dan parti yang lebih besar, lebih penting dan lebih utama daripada Johor Darul Ta’zim.

“Jika ada yang tidak terpilih menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri jangan kecil hati. Semua boleh memberi perkhidmatan yang sebaiknya,” titah Sultan Ibrahim yang turut menambah kelayakan akademik setiap calon juga perlu disemak kesahihannya dengan teliti.

Titah baginda, nasib rakyat sentiasa diutamakan, begitu juga wakil rakyat yang dipilih perlu melaksanakan tanggungjawab dengan berkhidmat kepada rakyat.

“Mana-mana Exco yang tidak mampu melaksanakan tugas mereka kelak, maka Menteri Besar perlu segera menggantikan Exco berkenaan. Begitu juga nasihat saya kepada Menteri Besar supaya menumpu pada tugas dan tanggungjawab kepada negeri dan rakyat.

“Di peringkat awal ini, Datuk Onn juga perlu bekerjasama dengan Datuk Hasni dalam mendapatkan pandangan atau nasihat,” titah baginda lagi.

Tiga hari lepas, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap itu mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor ke-19 di hadapan Sultan Ibrahim di Balai Mengadap Istana Bukit Serene, di sini.

Onn Hafiz, 43, memenangi kerusi berkenaan dalam pertandingan empat penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Sabtu lalu, sekali gus menewaskan Azlisham Azahar daripada Perikatan Nasional, R Sangaran (Parti Ikatan Demokratik Malaysia) dan Datuk Dr Sharuddin Md Salleh (Parti Pejuang Tanah Air) dengan majoriti 6,543 undi. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.