Onn Hafiz Mula Tugas Sebagai Menteri Besar

ISKANDAR PUTERI, 16 Mac – Menteri Besar Johor yang baharu Datuk Onn Hafiz Ghazi memulakan tugasnya secara rasmi di Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad, Kota Iskandar di sini hari ini.

Kenderaan membawa Menteri Besar Johor ke-19 itu tiba di pekarangan bangunan berkenaan pada 10.05 pagi dan ketibaan beliau disambut Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Azmi Rohani.

Sebelum memasuki pejabatnya di Aras 4, Onn Hafiz yang mengenakan sut serba hitam mengaminkan bacaan doa dan melakukan simbolik menandatangani surat untuk memulakan tugas rasminya.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap itu mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar di hadapan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Balai Mengadap Istana Bukit Serene, Johor Bahru, semalam.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Sabtu lepas, Onn Hafiz, 43, memenangi pertandingan empat penjuru menewaskan Azlisham Azahar daripada Perikatan Nasional, R. Sangaran (Parti Ikatan Demokratik Malaysia) dan Datuk Dr Sharuddin Md Salleh (Parti Pejuang Tanah Air) dengan majoriti 6,543.

Barisan Nasional memenangi PRN Johor dengan memperoleh lebih dua pertiga majoriti, memenangi 40 kerusi daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri yang dipertandingkan. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.