PIP Bakal Ubah Landskap Ekonomi Perlis – Raja Perlis

PADANG BESAR, 15 Mac – Pelaksanaan projek Projek Pembangunan Perlis Inland Port (PIP) bakal mengubah landskap ekonomi di Perlis, titah Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Baginda bertitah PIP dan Chuping Valley Industrial Area (CVIA) merupakan dua projek mega yang saling melengkapi serta memberikan impak ekonomi dalam sektor perindustrian dan juga logistik.

“Ini akan mengubah suasana khususnya di kawasan Chuping dan Padang Besar yang dahulunya merupakan kawasan pertanian.

“PIP ini merupakan sinergi awam dan swasta di mana pihak kerajaan memperuntukkan RM318.0 juta bagi tujuan pembangunan infrastruktur luaran dan RM1.2 bilion daripada pelaburan swasta bagi pembangunan kawasan operasi,” titah baginda semasa melancarkan projek pembangunan Perlis Inland Port (PIP) di Kawasan Perindustrian Projek Pembangunan Lembah Chuping (CVIA) di sini hari ini.

Berangkat sama mengiringi baginda Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Hadir sama, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man dan Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) Mohammad Haris Kader Sultan.

Tuanku Syed Sirajuddin berharap jalinan kerjasama pihak kerajaan dan swasta dapat diteruskan dan ditingkatkan bagi memberi manfaat kepada semua pihak khususnya rakyat negeri Perlis.

Baginda bertitah pembangunan projek tersebut akan membuka banyak peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang serta limpahan rantaian ekonomi kepada masyarakat setempat.

“Rakyat Perlis diharap dapat mengambil peluang ini untuk turut serta menjadi sebahagian daripada pembangunan PIP bagi meningkatkan ekonomi dan kesejahteraan diri,” titah baginda.

Baginda berharap projek PIP tersebut dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan di samping yakin projek itu akan melonjakkan prestasi ekonomi dan pembangunan negeri bagi mencapai sasaran Perlis Negeri Bandaraya menjelang 2030. – BERNAMA