PUMAS Sasar Penyertaan 10,000 Usahawan Menjelang Hujung Bulan Ini – Noh

KUALA LUMPUR, 14 Mac – Seramai 10,000 usahawan disasar untuk menyertai iniasitif Perintis Usahawan Malaysia (PUMAS) menjelang akhir bulan ini.

Menurut Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) Tan Sri Noh Omar, inisiatif yang dilaksanakan dengan kerjasama Yayasan Perintis Malaysia (MyPerintis) itu diharap dapat menjadi platform untuk menarik minat anak muda menyertai sektor keusahawanan.

“Saya juga mengalu-alukan yayasan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang sudi bekerjasama dengan MEDAC (Kuskop) untuk melahirkan lebih ramai anak muda untuk melibatkan diri dalam bidang ini,” katanya ketika merasmikan inisiatif berkenaan, di sini hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Pengasas MyPerintis Datuk Lawrence Low berkata PUMAS merupakan platform untuk mengumpulkan dan membantu usahawan tempatan melalui pelbagai pakej dan tawaran khas daripada rakan strategik, sama ada dari sektor awam dan swasta.

PUMAS dimulakan bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) bertujuan membantu usahawan yang mempunyai masalah percukaian selepas pandemik COVID-19 selain melatih mereka menjadi celik cukai.

“Saya berharap platform PUMAS ini mampu digunakan dengan sepenuhnya sebagai wahana untuk memperkembangkan kebolehan dan bakat keusahawanan sekali gus menaikkan keuntungan dan pendapatan para usahawan,” kata Low.

Antara rakan strategik PUMAS adalah Astro, Celcom, SME Bank, CEDAR, Alliance Bank, Tekun, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Insken, Pos Malaysia, Bank Rakyat, Tenaga Nasional Berhad, BlackCard dan Exabytes. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.