MAHB Bersama KKM, MKN, Ambil Langkah Tambah Baik Pengendalian Jemaah Umrah Di KLIA

MANJUNG, 14 Mac – Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) bersama-sama Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan mengambil langkah bagi menambah baik urusan pengendalian jemaah umrah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) seperti yang dibangkitkan di media sosial ketika ini.

Pengerusi MAHB Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata perbincangan secara berterusan akan diadakan untuk mencari jalan agar masa urusan dicepatkan dan tidak menyukarkan pergerakan jemaah yang baru balik dari Tanah Suci, selain mengelakkan kesesakan di balai ketibaan KLIA.

“Saya difahamkan, sejak semalam keadaan di sana (KLIA) terkawal iaitu adanya kerjasama yang erat antara MAHB, KKM dan MKN dalam memastikan keadaan lancar dan terkawal.

“Kami juga meletakkan lebih banyak kakitangan di kawasan tersebut bagi memastikan proses mendapatkan jam penjejak dalam keadaan terkawal,” katanya selepas menyampaikan sumbangan barangan ‘Kembali Ke Sekolah’ anjuran Malaysia Airports di sini hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor, mengulas mengenai rintihan jemaah umrah di media sosial berikutan urusan pengendalian mereka sewaktu tiba di KLIA yang memakan masa lima hingga enam jam.

Menurut Zambry, banyak prosedur yang perlu dilaksanakan memandangkan Arab Saudi merupakan negara berisiko tinggi COVID-19.

Justeru, pihaknya menyarankan agar penumpang yang baru pulang dari menjalani ibadah umrah untuk mengisi borang di aplikasi MySejahtera terlebih dahulu sebelum menaiki kapal terbang.

Jelasnya, perkara tersebut adalah berkaitan masalah teknikal yang memerlukan kerjasama dan perbincangan berterusan bagi memastikan segala urusan dalam keadaan terkawal.

Beliau turut berharap isu tersebut tidak berulang apabila pembukaan semula sempadan negara pada 1 April ini. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.