Isu Penipuan Pembelian Dalam Talian, Rumah Terbengkalai Tumpuan Dewan Rakyat Hari Ini

KUALA LUMPUR, 14 Mac – Isu berkaitan penipuan pembelian dalam talian dan tindakan kerajaan menangani rumah terbengkalai antara tumpuan persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat dalam laman sesawang Parlimen, dua soalan berkaitan penipuan pembelian dalam talian tersenarai antara 10 soalan utama pada sesi soal jawab hari ini yang akan dikemukakan oleh Su Keong Siong (PH-Kampar) dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PH-Pandan).

Su dijadual mengajukan soalan kepada Menteri Dalam Negeri berhubung statistik kes penipuan pembelian dalam talian dalam tempoh 2019 hingga 2021 dan langkah kerajaan membendung masalah berkenaan agar ia tidak menjejaskan kerancakan urus niaga bentuk baharu itu.

Sementara itu Dr Wan Azizah akan mengajukan soalan kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berhubung jumlah kerugian terkini akibat aktiviti penipuan dalam talian dan media elektronik.

Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (BN-Machang) pula akan meminta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan menyatakan tindakan kerajaan dalam isu rumah terbengkalai yang semakin meningkat dan langkah penyelesaian dalam menangani masalah rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) yang terbengkalai.

Selesai sesi tersebut, persidangan akan bersambung dengan sesi menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja melibatkan lapan kementerian, didahului dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Dewan Rakyat bersidang hingga 24 Mac ini. – BERNAMA