Pengundi Muda Teruja, Luah Syukur Jalankan Tanggungjawab

PASIR GUDANG, 12 Mac – Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor menyaksikan pertama kali pengundi berusia 18,19 dan 20 tahun diberikan hak untuk terlibat dalam sistem demokrasi negara.

Pemerhatian UMNO Online di Sekolah Kebangsaan Taman Molek menyaksikan pengundi muda telah mula menghadirkan diri untuk melakukan proses pengundian seawal jam 8.30 pagi tadi.

Bagi Nur Hazwani Zainudin, 20 yang keluar undi di Dewan Kampung Melayu Majidi, di sini meluahkan kesyukuran kerana berpeluang menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Jaya.

“Pertama kali mengundi rasa seronok, harapan saya untuk melihat negeri maju dan terus sukses seperti sebelum-sebelum ini.

“… untuk pengundi buat pilihan tepat bagi kemajuan negeri kita Johor ini,” katanya.

Sementara itu, bagi Nor Hasnah Jamaludin, 59 mengundi bagi DUN Johor Jaya turut berharap pengundi di seluruh negeri terutama golongan muda untuk menunaikan tanggungjawab mereka dengan sebaiknya.

Dalam pada itu beliau yang selesai mengundi pada sebelah pagi di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Pandan turut meluahkan kegembiraan setelah menunaikan tanggungjawab pada kali ini.

“Perasaan gembira sebab dapat menjalankan tanggungjawab yang menentukan kerajaan kita saya juga lihat ini adalah langkah pertama untuk pengundi muda memahami bahawa mereka ini ada tanggungjawab pada negara.

“Harapan saya supaya pengundi semua golongan dapat turun mengundi untuk agama bangsa dan negara,” ujar beliau.

PRN Johor hari ini, adalah pilihan raya pertama di negara ini bagi anak muda merasai sendiri pengalaman keluar mengundi bagi memilih wakil rakyat, melibatkan 173,177 individu berusia 18 hingga 20 tahun.

Kebenaran untuk anak muda mengundi kali ini adalah susulan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019, bagi menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun dan pendaftaran pengundi automatik diluluskan pada Mac 2019. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.