Ahmad Zahid Seru Rakyat Hayati Semangat Kemerdekaan Dengan Perpaduan
KUALA LUMPUR, 30 Ogos 2025 – Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk menghayati semangat kemerdekaan ke-68 dengan memperkukuh semangat perpaduan dan menjiwai tema tahun ini, “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni”.
Dalam perutusan khasnya sempena Hari Kebangsaan, beliau mengimbas kembali detik bersejarah pada 31 Ogos 1957, ketika laungan “Merdeka!” bergema di Stadium Merdeka, yang kemudian disusuli oleh pengisytiharan penubuhan Malaysia pada tahun 1963.

“Tanggal 31 Ogos sentiasa menjadi detik keramat yang mengingatkan kita kepada kebangkitan sebuah bangsa yang dahulunya dijajah, namun kini mampu berdiri megah dengan penuh maruah dan keyakinan,” katanya.
Tambah beliau, kemerdekaan sebenar bukan sekadar membebaskan diri daripada penjajahan, tetapi turut melibatkan usaha untuk menyantuni rakyat, mendengar suara mereka, dan membela nasib seluruh warganegara.
Ahmad Zahid turut menekankan bahawa kekuatan sebenar Malaysia terletak pada perpaduan rakyatnya yang hidup dalam harmoni dan saling menghormati antara satu sama lain.
“Inilah kekuatan sebenar Malaysia – sebuah negara yang dibina atas asas perpaduan dan pengorbanan rakyatnya,” ujar beliau.
Sambutan Hari Kebangsaan ke-68, katanya, adalah satu penghargaan kepada seluruh rakyat Malaysia yang terus setia mempertahankan tanah air yang dicintai bersama.
Akhir sekali, beliau mengajak rakyat untuk mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh bangga, memperkukuh semangat persaudaraan, dan memastikan warisan perjuangan negara terus terpelihara untuk generasi akan datang. – UMNO Online
