68 Tahun Merdeka, Tiada Lagi Alasan Kecuaian Pasang Bendera – Mohd Jafni

JOHOR BAHRU, 30 Ogos 2025 – Kerajaan Negeri Johor memandang serius dua insiden pemasangan bendera secara terbalik yang berlaku baru-baru ini dan menegaskan bahawa kesilapan sedemikian tidak boleh lagi dianggap perkara kecil, sebaliknya merupakan satu tamparan terhadap kedaulatan negara.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor menegaskan bahawa selepas 68 tahun Malaysia merdeka, alasan kecuaian tidak lagi boleh diterima.

“Selepas 68 tahun Malaysia merdeka, alasan kecuaian yang sama tidak seharusnya terus berulang kerana kesilapan ini bukan perkara kecil, malah merupakan tamparan terhadap kedaulatan yang diperjuangkan dengan darah dan air mata,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu susulan tindakan Majlis Perbandaran Pontian yang mengeluarkan notis penutupan premis selama 30 hari terhadap sebuah premis kerana mengibarkan bendera secara terbalik iaitu tindakan yang disifatkan oleh sesetengah pihak sebagai keterlaluan.

Namun, Mohd Jafni menegaskan bahawa tindakan itu bukan bersifat “ultra vires” atau kejam, tetapi dibuat berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada sebagai satu bentuk amaran keras kepada semua pihak agar tidak cuai atau sambil lewa dalam hal yang melibatkan simbol kedaulatan negara.

“Bangsa Johor tanpa mengira kaum atau latar belakang mesti sedar bahawa menghormati Jalur Gemilang dan Bendera Johor bukan pilihan, tetapi kewajipan. Bendera bukan sekadar kain yang berkibar di tiang; ia adalah simbol kedaulatan, maruah dan kesetiaan,” tegasnya.

Beliau menambah, menghormati bendera bermaksud menghormati negeri dan negara itu sendiri, dan setiap rakyat bertanggungjawab secara moral dan undang-undang untuk memelihara lambang tersebut.

“Alasan kecuaian pekerja adalah tidak wajar kerana majikan warganegara wajib bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kesalahan dan kesilapan yang berlaku di premis masing-masing,” katanya.

Mengulas dari sudut perundangan, tindakan penutupan premis itu adalah selari dengan peruntukan UUK 49(2), Kuasa Menutup Premis dan UUK 45(1), Pengibaran Bendera, di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MDP) 2019.

Menurut beliau, ini bermakna tindakan tersebut mempunyai asas undang-undang yang kukuh dan bukan dibuat secara sewenang-wenangnya malah Kerajaan Negeri Johor turut memberi peringatan bahawa tindakan lebih tegas dan tanpa kompromi akan diambil sekiranya kejadian serupa berulang.

“Ketegasan undang-undang amat penting supaya setiap rakyat dan pihak berkepentingan benar-benar menghormati lambang kedaulatan negara serta negeri, sekali gus menutup ruang daripada alasan remeh yang boleh mencemarkan maruah bendera yang kita semua sayangi,” tambahnya.

Mohd Jafni juga mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan ke-68 kepada seluruh rakyat Johor dan Malaysia. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO