Kibar Jalur Gemilang Syukuri Nikmat Kemerdekaan – Mohd Asna
KUALA LUMPUR, 30 Ogos – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Datuk Mohd Asna Amin menyeru rakyat untuk bersama mengibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda mensyukuri nilai kemerdekaan yang dimiliki negara.
Beliau yang juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan berkata ia penting dalam menyemarak semangat cintakan negara menjelang 31 Ogos ini.
Rentetan itu, Mohd Asna turut sama menyahut seruan kerajaan untuk menggalakkan rakyat mengibarkan bendera di rumah dan kenderaan masing-masing.
“Kalau di Negeri Sembilan ini satu rumah satu bendera. Jadi saya pun mengambil inisitif menyeru Kawasan Rukun Tetangga (KRT), ketua kampung kita serahkan bendera untuk buat pertandingan
“Bagaimana kita hendak menunjuk kecintaan kepada negara. Jadi salah satunya dengan tegakkan bendera di kereta, rumah.
“Semua jawatankuasa kampung, pengerusi KRT memberikan respon yang sangat baik maksudnya mereka bersama-sama dengan kerajaan menyahut seruan satu rumah satu bendera,” katanya ketika ditemui UMNO Online.
Mengulas lanjut, Naib Ketua UMNO Bahagian Seremban itu turut berharap keharmonian negara ini terus terjaga dengan menghormati kepelbagaian agama dan kaum.
Katanya, dalam perbezaan tersebut semua pihak wajar saling bertoleransi antara satu sama lain di samping menjauhi sebarang pertelagahan.
“Kita jaga isu-isu sensitif yang menyentuh sesama kita, sekarang ini ada banyak isu jadi untuk kekalkan kerajaan pada hari ini.
“Saya seru semua, sama-sama saling menghormati supaya kita sentiasa berada dalam keadaan harmoni,” ujar beliau. – UMNO Online
