Ekopelancongan Jadi Teras Kelima Pelancongan Di Melaka – Muhammad Jailani

ALOR GAJAH, 12 Mac – Aktiviti ekopelancongan, iaitu pelancongan yang berasas alam semula jadi akan menjadi teras kelima pelancongan Melaka selepas keluarga, warisan, kulinari dan membeli-belah, kata Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis.

Muhammad Jailani berkata ia berikutan banyak khazanah alam semulajadi yang belum diteroka di Melaka, sekali gus memberi peluang kepada pencinta alam untuk menikmati keindahan alam.

Beliau berkata aktiviti ekopelancongan berkenaan akan berkonsepkan ‘glamping’ (perkhemahan glamor) menggunakan kuasa solar yang semakin popular ketika ini.

“Ia tidak akan melibatkan kerosakan kepada ekosistem dan ekologi sesuatu tempat sekali gus dapat memastikan pencinta alam dapat menginap di sesuatu lokasi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Memerhati Burung Pemangsa (Raptor Watch) 2022 di Hutan Rekreasi Tanjung Tuan di sini hari ini.

Muhammad Jailani berkata setakat ini, dua lokasi telah dikenal pasti untuk melaksanakan aktiviti ekopelancongan berkonsepkan ‘glamping’ iaitu di Pulau Besar dan Pulau Nangka dan sedang meneliti lokasi yang sesuai untuk melaksanakan aktiviti sama di Tanjung Tuan di sini.

Mengulas mengenai program memerhati burung pemangsa, Muhammad Jailani berkata sebanyak 8,000 ekor burung pemangsa daripada jenis Oriental Honey-Buzzard, Gray-Faced Buzzard dan Japanese Sparrowhawk dikesan bermigrasi merentasi Selat Melaka, sejak lima hari lepas.

Katanya terdapat antara 300 hingga 400 pengunjung mengunjungi hutan rekreasi tersebut bagi menyaksikan fenomena tahunan itu.

Raptor ialah burung jenis maging yang mempunyai ciri pemburu dan pemangsa seperti sayap ringan, mata tajam, paruh bercangkuk, kuku besar dan tajam.

Pada musim sejuk di hemisfera utara, ketika sumber makanan dalam kawasan pembiakan menurun, ia akan berhijrah ke selatan yang panas kerana makanan lebih mudah didapati.

Antara burung pemangsa yang sering berhijrah ke Selat Melaka pada setiap Mac adalah Helang Lebah (Oriental Honey Buzzard), Helang Baza Berjambul (Black Baza), Helang Sewah (Japanese Sparowhawk), Alap-Alap Cina (Chinese Goshawk), Helang Merah (Brahminy Kite) dan Lang Baza Hitam (Grey-faced buzzard). – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.