Rakyat Tahu Nak Undi Siapa… Pilih BN Demi Kestabilan Masa Depan
JOHOR BAHRU, 10 Mac – Menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang masih berbaki dua hari lagi, rakyat sudah tahu siapa yang bakal mereka pilih untuk menjadi wakil rakyat mereka pada Sabtu, 12 Mac ini.
Rata-rata pengundi setempat melahirkan rasa teruja dan telah membuat penilaian sendiri berkaitan calon-calon yang bertanding dalam kawasan masing-masing, namun mengakui bahawa pilihan terbaik adalah Barisan Nasional (BN).
Bagi Abdul Rahman Duni yang merupakan pengerusi surau di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap memaklumkan keterujaan beliau untuk memilih wakil rakyat dalam PRN ini.
“Musim mengundi nak dekat dan saya memang teruja. Saya tahu siapa yang saya nak undi. Saya memang ambil tahu tentang calon dan saya juga tahu apa yang calon BN buat sebelum ini.
“Calon BN di DUN Machap ialah Datuk Onn Hafiz Ghazi. Alhamdulillah, saya dan masyarakat di sini ambil tahu apa kerja-kerja yang beliau buat sebelum ini,” katanya.
Hal ini turut diakui oleh Iskandar Ahmad selaku Yang Dipertua Sekolah Dato’ Onn Jaafar yang menganggap cabaran terbesar rakyat sebelum ini adalah ketika berdepan dengan pandemik COVID-19 sebelum ini.
“Masa itu pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) buat semua sekolah-sekolah di Malaysia, pendek kata kami pun buntu cara untuk memastikan pelajar-pelajar nak bersemangat untuk belajar.
“Dalam hal ini saya kagum dengan usaha Datuk Onn Hafiz yang ketika itu menjadi wakil rakyat DUN Layang-layang dengan memberikan sokongan kepada murid-murid dan guru-guru, bantuan persekolahan dan berikan tab pintar kepada pelajar.
“Saya harap peruntukan yang sekolah Zon Layang-layang dapat akan diusahakan untuk sekolah-sekolah di DUN Machap nanti,” katanya yang mengharapkan calon BN terbabit menjadi pilihan rakyat.
Bagi anak muda tempatan yang menjadi sukarelawan Southen Volunteers, Zamrie Baharudin mengenali perwatakan calon BN terbabit apatah lagi akrab dengan golongan muda.
“Beliau berjiiwa muda, sentiasa mendekati orang muda, sentiasa faham kehendak orang muda dan saya percaya sekiranya beliau dipilih menjadi ADUN Machap, maka ini adalah peluang orang muda untuk terus mengenalinya dan akan dapat sesuatu sebagaimana DUN Layang-layang dapat sewaktu beliau berkhidmat di sana.
“Contohnya mungkin kita akan dapat gelanggang futsal yang baru dan pelbagai manfaat lain,” katanya.
Hal ini dipersetujui oleh Qayyum yang merupakan pemilik kedai Tumpang Co-Working Space, di Simpang Renggam.
“Salah satu projek Datuk Onn Hafiz yang saya amat teruja ialah Pembinaan Tengku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC) dan berharap ianya akan dapat dapat diwujudkan di kawasan Simpang Renggam kelak.”
Peniaga lain, Fatimah melahirkan harapan agar pemimpin politik akan memberikan sokongan kepada golongan berkaitan juga.
“Kami peniaga semua perlukan sokongan dan bantuan dari ahli-ahli politik. Semua faham dan tahu apa yang YB Onn Hafiz buat sebelum ini waktu beliau di DUN Layang-layang.
“Saya perasan juga beliau ada buat kursus-kursus, buat ‘online’ dekat kawasan sini dan kawasan Johor.
“Jadi saya doakan Datuk Onn Hafiz ini akan menang dan dapat terus bantu semua peniaga-peniaga,” katanya dengan penuh harapan.
Terdahulu, Onn Hafiz yang bertanding di DUN Layang-layang pada PRU lalu kali ini bakal mempertahankan DUN Machap.
Kerusi DUN Machap menyaksikan pertembungan antara Onn Hafiz dengan Ketua Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor Datuk Dr. Shahruddin Md Salleh.
Selain kedua-dua calon itu, persaingan di kerusi DUN sama pada PRN Johor itu juga disertai Ketua Dewan Ulama PAS Negeri Johor Azlisham Azahar yang mewakili Perikatan Nasional (PN) dan R.Sangaran daripada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA). – UMNO Online
Oleh: Ika Ahmad