Warga Felda Kini Tersenyum Raih Pendapatan Tinggi Susulan Lonjakan Harga Sawit

MERSING, 9 Mac – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata warga Felda kini meraih pendapatan lebih tinggi berikutan lonjakan harga sawit di pasaran.

Beliau berkata industri sawit negara mencatatkan rekod tertinggi apabila harga minyak sawit mentah mencecah sehingga RM8,076.50 setan pada 2 Mac lepas dan ini telah memanfaatkan warga Felda dan negara.

“Saya melihat warga Felda kini boleh kembali tersenyum apabila meraih pendapatan lebih tinggi berikutan lonjakan harga sawit di pasaran,” katanya serta memberi contoh pencapaian Kak Aminah dari Felda Endau yang difahamkan kini meraih pendapatan hampir RM8,000 sebulan.

Berucap pada Majlis Transformasi Perladangan Felda di Felda Endau di sini hari ini, Ismail Sabri yang sebelum itu menghadiri satu program di Felda Lok Heng di Kota Tinggi berkata seorang peneroka di situ telah memaklumkan kepadanya tentang pencapaian meraih pendapatan mencecah RM12,000 sebulan.

“Tahniah kepada Felda,” katanya serta menambah pada tahun lepas, industri sawit telah menyumbang sehingga RM107 bilion kepada pendapatan eksport negara dengan 5.6 juta tan buah tandan segar diproses dari ladang-ladang milik peneroka yang bersama Felda.

Selain peneroka menikmati pendapatan yang semakin meningkat, Perdana Menteri turut berkongsi berita baik berkaitan Felda apabila syarikat perladangan FGV Holdings Bhd mencatatkan keuntungan besar.

“Alhamdulillah, tahniah saya ucapkan kepada FGV yang mencatatkan keuntungan RM1.17 bilion bagi tahun kewangan 2021 dan keuntungan ini pastinya memberi impak positif secara langsung kepada Felda (Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan) yang kini memiliki 82 peratus saham FGV,” katanya.

Di sebalik kegembiraan peningkatan harga yang tinggi itu, Ismail Sabri berkata industri sawit juga berdepan dengan cabaran yang menjejaskan pengeluaran buah tandan segar seperti kekurangan buruh ladang selepas pandemik COVID-19 yang mengakibatkan minyak sawit berkurangan hampir satu juta tan pada 2021 berbanding tahun sebelumnya.

Supaya tidak kerugian dalam jangka masa panjang, beliau berkata kerajaan sedang menanganinya dengan merangka strategi menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dengan menumpukan usaha mengurangkan kebergantungan terhadap buruh asing melalui penggunaan teknologi dan Internet of Things (IoT).

“Revolusi Industri 4.0 perlu menjadi sebahagian keutamaan setiap industri dan agensi supaya kita tidak ketinggalan dalam kegiatan ekonomi bernilai tinggi,” kata Ismail Sabri.

Perdana Menteri turut mezahirkan penghargaan kepada Felda kerana menyokong aspirasi kerajaan melalui visi Ladang Lestari 2523 yang diperkenalkan oleh Pengerusi Felda Datuk Seri Idris Jusoh dan barisan pengurusannya dalam usaha memastikan pengurusan ladang peneroka lebih berdaya saing.

Beliau berkata visi transformasi perladangan Felda itu mempunyai objektif yang jelas iaitu meningkatkan pendapatan peneroka melalui pemerkasaan teknologi dan mekanisasi dalam perladangan.

Menurutnya, empat teras strategi menerusi dasar mekanisasi Felda akan membantu mengurangkan 50 peratus penggunaan buruh, meningkatkan produktiviti sehingga 30 peratus dan mengurangkan kos operasi ladang sebanyak 20 peratus, dan usaha tersebut akan memberi impak dan manfaat besar kepada warga Felda.

Ismail Sabri juga berkata pengunaan aplikasi pertanian melalui mekanisasi dan digitalisasi akan mengekalkan standard akreditasi antarabangsa yang perlu dipatuhi dalam membantu mengukuhkan integriti dan kualiti sawit Malaysia. – BERNAMA