Reezal : Kerajaan Beri Bantuan Tidak Minta Balasan

JOHOR BAHRU, 9 Mac – Kerajaan tidak pernah meminta balasan selepas memberikan bantuan kepada rakyat terutama ketika musim pilihan raya.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, sudah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk membantu rakyat setiap masa dan bukan waktu tertentu sahaja.

“Saya bukan mahu mengajak tuan, puan (penerima bantuan) untuk melihat perkara ini daripada kanta mata bahawa ianya perlu dibalas, tetapi sebaliknya tuhan mahu kita lihat dan bersyukur dengan nikmat yang diberi.

“Sebagai kerajaan, apabila ada pihak kurang bernasib baik memohon bantuan, kita perlu usahakan sebaik mungkin cuba bantu mereka.

“Perkara ini (program baik pulih rumah di bandar) tidak dapat dilakukan tanpa adanya kerjasama erat dan kukuh antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan surat kelulusan Program Baik Pulih Rumah di Bandar Negeri Johor di Menara Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) di sini pada Rabu.

Reezal Merican turut mengingatkan, pentingnya sebuah kerajaan negeri yang stabil bagi membolehkan pelbagai agenda demi kesejahteraan rakyat dilaksana dengan baik dan tersusun.

Sementara itu, dalam majlis berkenaan seramai 62 pemilik rumah terdiri daripada keluarga B40 menerima surat kelulusan baik pulih berkenaan daripada 15 pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh Johor.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.