PRN Untuk Kestabilan, Bukan Kerana ‘Najib’ Yang Diratib Pembangkang

JOHOR BAHRU, 9 Mac – Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menegaskan bahawa kestabilan adalah asas dalam mewujudkan kemajuan dan tanpa kestabilan tidak akan ada apa-apa yang boleh dilaksana.

Kerana itu katanya, Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dilaksana adalah peluang kepada rakyat untuk kembalikan mandat dan menebus kembali masa yang telah terbuang hasil pentadbiran dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) hingga hilang kestabilan tapi hanya terus menyalahkan ‘Najib’.

“Saya anggap PRN ini sebagai satu peluang keemasan. Ini bukan soal nak menang sahaja tapi juga nak tebus maruah rakyat Negeri Johor yang tertekan dan terkebelakang sedangkan nilai sejarah dan nasionalisme itu bermula di Johor. Kita nak mulakan kembali kebangkitan BN untuk negara bermula dari Johor.

“Konsep kestabilan itu juga perlunya kita perkukuhkan institusi-institusi kita misalnya dari pihak sana lihat bagaimana pelantikan Tommy Thomas yang dia anggap sebagai lantikan politik sedangkan bilamana seorang Peguam Negara menganggap dirinya adalah lantikan politik maka dia akan buat pertimbangan berdasarkan politik dan bukannya untuk menegakkan keadilan… sebab itulah kes Lim Guan Eng ditarik balik.

“Ini semua harus diambilkira sedangkan dalam ‘mindset’ mereka (pihak lawan) kerajaan yang tak kukuh adalah berkaitan survival mereka iaitu sama ada esok ada lagi ke tak dalam kerajaan yang tak kukuh… maka kerana itu mereka hanya terus fikirkan diri sendiri,” katanya.

Tegas Najib, jangan kata ‘long term’ tapi untuk ‘short term’ pun dah tak ada kestabilan akibat daripada ‘survival mood’.

“Jadi kalau asyik dalam ‘survival mood’ kerajaan yang tak kukuh maka yang akan jadi mangsa adalah rakyat dan satu lagi kita terdedah kepada politik ugutan. Kalau tak buat ini maka akan dapat ini… dan bila pula akan dapat laksanakan dasar-dasar jika berdepan ugutan.

“Jadi bila nak laksanakan untuk agenda untuk kesejahteraan rakyat sedangkan masing-masing hanya fikirkan kewujudan sendiri.”

Dalam hal ini Najib mengakui amat memahami Bangsa Johor, malah mempunyai pertalian dari keluarga sebelah ibunya Tun Rahah Mohamed Noah yang berasal dari Muar.

“Saya faham keadaan orang Johor, negeri besar, negeri strategik… maka ada perasaan kita nak balik ke zaman BN dulu iaitu segala-gala perubahan dapat dilihat, High-Speed Rail (HSR) dapat dilaksanakan malah saya dah luluskan, dan ia akan jadi satu pemangkin kepada Muar.

“Perasaan orang Johor sekarang adalah untuk menebus kembali maruah negeri Johor dan bagi saya hanya BN sahaja yang boleh laksanakan untuk kesejahteraan rakyat.”

Beliau yang juga Perdana Menteri keenam berkata demikian menerusi segmen Facebook UMNO Online sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang membincangkan topik ‘Bicara Minda Johor: Antara Mimpi & Realiti’, bersama seorang lagi panel, Datuk Seri Razali Ibrahim, malam tadi.

Najib turut menegaskan bahawa PRN Johor diadakan bukanlah kerana dirinya namun demikian pihak lawan masih terus-terusan menjadikan dirinya sasaran serangan dalam kempen terbabit.

“Sebenarnya pihak lawan tersasar, pilihan raya ni bukan pasal saya. Saya dah ulang kali berkata pilihan raya ini berkaitan negeri Johor yang dibuat supaya rakyat dapat buat pilihan yang bijak dan tepat. Di Melaka pun, saya kena tembak bertubi-tubi tapi apa jadi di Melaka… BN menang dengan cemerlang.

“Sebenarnya punca kejatuhan PH adalah rentetan kemenangan BN tujuh kali berturut-turut dalam PRK dan kekalahan paling teruk di Tanjung Piai yang merupakan kekalahan paling besar dalam mana-mana parti politik dalam negara.

“PPBM kalah teruk dalam negeri yang ditadbirnya sendiri. Dilihat bahawa kerana itu, jika mereka terus bersama PH maka akan lebih teruk, maka mulalah Langkah Sheraton kerana ketakutan mereka apabila rakyat dah sedar bahawa penipuan dan kegagalan dibuat mereka.”

Najib juga memaklumkan bahawa rakyat tidak lupa tekanan dan kesusahan yang dilalui semasa mendepani COVID-19.

“Rakyat masih ingat Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah orang yang paling lama melaksanakan ‘lockdown’ di dunia. Dia yang mengisytiharkan darurat kononnya nak lawan COVID sedangkan dia gantung Parlimen dan Perlembagaan yang ini semuanya demi politik hingga menyiksa rakyat.

“Ini bukan soal kedudukan saya secara peribadi, malah ini adalah gambaran bahawa rakyat menganggap kalau BN ada maka semua ini tak akan berlaku yang mana waktu itu kadar bunuh diri dalam negara paling tinggi, kadar kebankrapan paling tinggi, pengangguran yang paling tinggi dan termasuk pelbagai penyakit sosial yang diakibatkan seorang yang kemaruk kuasa, takut hilang kuasa dan darurat dibuat sebab nak kekalkan kuasa.”

Selaras dengan itu, Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan menekankan bahawa potensi di Johor akan berkembang jika ada kestabilan yang konsisten.

“Mesti ada konsistensi dalam pentadbiran barulah pelabur-pelabur akan datang tapi kalau dalam tiga tahun ada tiga menteri besar mana ada konsistensi?

“Sebab itu statistik menunjukkan bahawa kadar pelaburan di Johor pada zaman BN adalah tertinggi tapi kemudian merudum jatuh ketika zaman PH. Mereka buat kenyataan-kenyataan yang menakutkan pelabur untuk datang… ini semua angkara yang belaku kerana mereka tak tahu mentadbir.

“Niat mereka adalah untuk memburukkan BN sedangkan ketika itu mereka sudah menjadi kerajaan. Mereka berbohong tentang hutang negara hinggakan pelabur lari, mereka fitnah BN macam-macam yang akhirnya makan diri sendiri.

“Yang saya ralat kita kehilangan masa kerana sepatutnya kita jauh dah ke hadapan iaitu kita berada di ambang negara maju tapi sekarang kita kembali mundur dan yang rugi adalah rakyat dan negara.”

Kerana itu, Najib berpesan, “Kalau Abah tak sayang Johor… biarlah ‘Bossku’ sayang Johor.” – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.