Fasa Peralihan Endemik: Kerajaan Terus Lindungi Rakyat, Perlukan Solidariti Komuniti – Khairy

KUALA LUMPUR, 9 Mac – Kerajaan akan terus melindungi rakyat daripada penularan penyakit COVID-19 walaupun negara akan beralih ke Fasa Peralihan Endemik bermula 1 April ini, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin hari ini.

Beliau berkata proses peralihan juga perlu disusuli dengan perubahan daripada bergantung intervensi kerajaan kepada solidariti komuniti serta tanggungjawab individu termasuk meneruskan program pemberian vaksin meliputi kepada golongan kanak-kanak dan suntikan dos penggalak.

“Kita tidak lagi boleh bergantung pada SOP (prosedur operasi standard) dan Akta 342 (Undang-Undang Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021).

“Kerajaan juga akan mempertingkatkan lagi opsyen rawatan kepada pesakit yang telah dijangkiti dengan ubat-ubatan yang baharu, dan memantau kes-kes positif yang dipantau dari rumah melalui Pusat Penilaian COVID-19 Secara Maya (VCAC) kita,” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen di sini.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Malaysia akan memasuki ‘Fasa Peralihan ke Endemik’ yang menyaksikan lebih banyak kelonggaran dalam pelbagai sektor dan pembukaan sepenuhnya sempadan negara.

Mengenai solidariti komuniti dan tanggungjawab individu, Khairy berkata rakyat tidak perlu lagi dipaksa mengikut peraturan atau dikenakan tindakan saman, sebaliknya mereka harus memberi penekanan terhadap pematuhan SOP yang lebih ringan yang akan terus dilaksanakan.

“Kita tidak lagi mahu melihat ia dipaksa, disaman atau sebagainya sebaliknya mewujudkan pengudaraan yang baik di tempat kerja, melaksanakan sistem kerja dari rumah jika sesuai.

“Tanggungjawab individu pula lebih kepada patuh kepada kawalan kesihatan kendiri seperti membuat ujian sekiranya bergejala, pemakaian pelitup muka berkualiti tinggi dan mengamalkan penjarakan fizikal yang munasabah,” katanya.

Sementara itu Khairy berkata Kementerian Kesihatan (KKM) setakat ini telah mengedarkan 2 juta Pakej Penjagaan COVID-19 (PPC) secara percuma kepada 57 peratus keluarga B40 bagi membantu rakyat menghadapi proses peralihan ke fasa endemik kelak.

Menurutnya, pakej bantuan itu akan diagihkan kepada baki keluarga golongan itu pada hujung bulan ini. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.