Agong Berkenan Kurnia Biasiswa Kepada 10 Pelajar IPT

KUALA LUMPUR, 9 Mac – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan Biasiswa Yang di-Pertuan Agong (BYDPA) kepada 10 penuntut Institut Pengajian Tinggi (IPT), di Istana Negara di sini, hari ini.

Empat penerima biasiswa ialah bagi pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD) manakala enam di peringkat sarjana.

Pelajar menerima biasiswa di peringkat PhD ialah Nurul Farhana Abd Ghaffar, 28, yang melanjutkan pelajaran dalam pengkhususan Pengurusan Sisa di Nanyang Technological University, Singapura; S.Mogesh, 23, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (Sel Stem), Universiti Putra Malaysia (UPM); Loke Yean Leng, 24, (Nanoteknologi, Universiti Malaya) dan Nurul Elia Aqila Ab Rahim, 26, (Kejuruteraan bio, Universiti Teknologi Malaysia).

Pelajar menerima biasiswa BYDPA di peringkat sarjana pula ialah Nur Amirah Syafiqah Salman, 24, (Agrosains, UPM), Nur Aina Izzati Mohd Mokhtar, 23, (Kimia Analisis, UPM); Ng Wan Chiew, 24, (Otorinolaringologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM); Too Lih Yuan, 26, dan M. Elancheleyen, 24, masing-masing dalam pengkhususan Kejuruteraan Tisu, UKM serta Muhamad Huzaifah Omar, 24, Kaedah Elektroanalisis, Universiti Sains Malaysia).

BYDP mula diperkenalkan pada 2006 dan sehingga kini, seramai 175 penerima telah diberi penajaan untuk pengajian di universiti penyelidikan dalam negara serta universiti terkemuka dunia dalam bidang Sains dan Teknologi, Ekonomi, Undang-undang dan Kewangan Islam.

Turut hadir, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah dan Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan) Datuk Dr Zulkapli Mohamed. – BERNAMA