Muhyiddin Flip Flop, Akhirnya Mengaku HSR Beri Impak Positif Ekonomi Johor

JOHOR BAHRU, 8 Mac – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berpandangan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin sengaja untuk memainkan sentimen politik berkenaan Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura antara Malaysia dan Singapura ketika Johor berhadapan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN).

Katanya tindakan Muhyiddin yang secara tiba-tiba mahu menyokong pemulihan projek itu juga adalah atas kesedaran beliau bahawa HSR yang dibawa oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu membawa impak positif khususnya buat rakyat di negeri ini.

“Dia tahu projek itu baik tapi disebabkan sentimen politik dia batalkan macam juga dia tahu Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) itu baik tapi disebabkan sentimen politik dia batalkan.

“Dibatalkan dengan GST kemudian diganti dengan enam cukai baharu dan naik tiga cukai… sembilan perkara untuk mengganti satu GST. Jadi kita tak mahu perkara flip flop dalam segi ekonomi dilakukan oleh pihak mereka,” katanya.

Beliau berkata ketika ditemui UMNO Online ketika menghadiri siri ceramah diadakan di Pusat Daerah Mengundi Larkin yang turut dihadiri calon Dewan Undangan Negeri BN kawasan berkenaan, Mohd Hairi Mad Shah.

Ahli Parlimen Pontian itu juga menambah bahawa projek tersebut adalah amat penting bukan hanya untuk Johor malah berupaya meransang ekonomi negara ke arah yang lebih baik.

“Jika kita memulakan HSR ini di bandaraya Singapura dengan berpuluh juta pelancong akan datang ke sini dan mengembangkan Johor Bahru terutama dari segi pelancongan dan juga perdagangan kemudian ke Batu Pahat, Muar, Seremban sehinggalah ke Kuala Lumpur.

“Ini adalah jajaran munasabah dan berekonomi tinggi nilainya termasuk di Pontian yang dijadikan sebagai tempat servis untuk bekalan dan baiki kerosakan,” ujar beliau.

Terdahulu Muhyiddin pada pelancaran manifesto PN memaklumkan bahawa akan menyokong pemulihan (HSR) antara Malaysia dan Singapura sekiranya gabungan itu memenangi pilihan raya negeri ini.

Sedangkan pada 1 Januari tahun lepas iaitu ketika pentadbiran PN, Malaysia dan Singapura bersama-sama mengumumkan penamatan projek HSR kerana kedua-dua negara gagal mencapai persetujuan mengenai perubahan yang dicadangkan oleh Malaysia sebelum perjanjian projek itu luput pada 31 Disember 2020.

Sehubungan itu, Malaysia telah membayar S$102.8 juta (RM320.27 juta) kepada Singapura untuk kos yang ditanggung bagi pembangunan projek HSR dan berkaitan dengan pelanjutan penggantungannya.

Bagaimanapun, kurang setahun selepas penamatan projek itu, semasa lawatan rasmi ke Singapura pada November tahun lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mencadangkan kepada rakan sejawatannya Lee Hsien Loong untuk memulihkan projek berkenaan. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.