Malaysia Ke Fasa Peralihan Endemik, Pembukaan Semula Sempadan Negara 1 April – PM

KUALA LUMPUR, 8 Mac – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan bahawa negara akan memasuki Fasa ‘Peralihan Ke Endemik’ serta pembukaan semula sempadan negara mulai 1 April depan.

Beliau berkata keputusan itu dibuat setelah mengambil kira pelbagai faktor, melakukan penilaian risiko, mendapatkan pandangan Kementerian Kesihatan (KKM) serta meneliti syor daripada Menteri Kuartet.

“Penting untuk saya maklumkan, Fasa ‘Peralihan Ke Endemik’ ini merupakan exit strategy untuk membolehkan kita semua kembali semula kepada kehidupan yang hampir normal selepas hampir dua tahun berperang dengan COVID-19,” katanya dalam sidang media khas di bangunan Parlimen, di sini hari ini.

Fasa peralihan itu, katanya merupakan fasa sementara sebelum negara beralih ke Fasa Endemik yang tertakluk kepada pengumuman yang hanya boleh dibuat oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).

Malaysia menutup sempadan negara kepada pelancong dan pelawat asing sejak Perintah Kawalan Pergerakan berkuat kuasa pada 18 Mac 2020 untuk mengekang penularan COVID-19 dalam negara.

Sehubungan itu, Ismail Sabri berkata bermula 1 April beberapa prosedur operasi standard (SOP) telah digariskan seperti berikut:
Pemakaian pelitup muka di tempat-tempat awam masih wajib dipatuhi oleh setiap individu.

Had waktu beroperasi bagi premis perniagaan dimansuhkan.

“Pemilik premis dibolehkan melaksanakan waktu operasi premis masing-masing mengikut syarat lesen operasi premis.

“Ini bermakna anda semua bolehlah makan di kedai makan selepas jam 12 tengah malam, terutamanya dengan bulan Ramadan yang akan tiba tidak lama lagi. Bolehlah bersahur di luar,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.