Rakyat Bijak Menilai… BN Fokus Agenda Kestabilan Masa Depan – Dr Zambry

JOHOR BAHRU, 7 Mac – Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menegaskan bahawa BN terus fokus kepada agenda kestabilan masa depan rakyat dalam mendepani baki kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac nanti.

Katanya, sepanjang tempoh kempen yang berlaku sejak penamaan calon pada 26 Feb lalu, tentunya rakyat bijak melakukan penilaian berdasarkan pelbagai situasi yang berlaku di sekeliling ketika ini.

“Saya yakin rakyat akan melihat malah menilai dengan kempen-kempen yang dilaksanakan oleh pihak sana, dengan cercaannya, ada yang kempen gunakan ayat-ayat yang sama seperti dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu, maki hamun, buat serangan peribadi kepada pihak tertentu, kata penyamun, pencuri dan lain-lain.

“BN tak mahu terikut cara mereka, gunakan perkataan maki hamun dan sebagainya. Kita tak harus mengambil pendekatan sebagaimana dimainkan mereka tapi kita perlu meyakinkan rakyat bahawa BN ini fokusnya adalah kestabilan.

“Kita lihat bagaimana menteri besar (MB) Datuk Hasni Mohammad begitu tenang, terus berkempen dengan menerangkan misi dan visi BN. Seorang yang tidak cepat melenting, suka mendengar dan ini adalah antara ciri-ciri pemimpin yang mendengar rakyatnya,” katanya.

Sehubungan itu, jelas Menteri Besar Perak itu, sikap dan keyakinan yang ditunjukkan oleh Hasni akan dapat membawa Johor bangun kembali selepas melalui babak-babak kejatuhan sebelum ini.

Ujar Dr Zambry, rakyat telah melihat dan merasai bagaimana kesannya dijanjikan kononnya pihak sana lebih baik pentadbiran dari BN sebagaimana sebelum PRU 2018.

“Rakyat dijanjikan macam-macam hinggakan langit dan bintang, mantera dan zikir tapi akhirnya apa yang mereka dapat. Daripada 2018 hingga hari ini… dari segi ekonomi, dari segi sosial dan sebagainya… pelbagai kesusahan telah dirasai.

“PRN ini bukan masa untuk lahirkan kekecewaan tapi soal apa yang nak dilakukan atau apa yang Bangsa Johor akan dapat.

“Apabila politik dijadikan bahan lampias kemarahan maka akhirnya tidak akan kemana. Kempen maki hamun dan sebagainya… ini akibat daripada kemarahan, kebencian, akibat dari rasa membuak-buak sedangkan ini sangat dielakkan dalam BN.”

Dr Zambry berkata demikian menerusi program FB Live UMNO Online anjuran Penerangan UMNO Malaysia (PUMAS) malam tadi dengan tajuk ‘Kestabilan dan Pilihan.’

Program yang diadakan setiap malam sempena PRN Johor ini dimoderatorkan oleh Datuk Dr Nor Azizan Abd Majid.

Meneruskan kupasannya, Dr Zambry menekankan yang mustahak adalah BN parti bertanggungjawab untuk rakyat.

“BN hidangkan sebuah agenda kestabilan untuk rakyat Johor kerana ia berkaitan dengan pilihan raya sebuah negeri. Ikhtiar BN pula bukan hanya satu manifesto, janji itu janji ini atau sajikan bulan dan bintang tapi ini adalah ikhtiar apa yang dirancang itu mahu terus dilaksanakan dan BN tidak mahu manifesto hanya tinggal manifesto.

“BN antara negeri yang termaju yang selama ini disebut ‘engine of growth’ kepada pembangunan, dengan keunikan masyarakatnya dan dapat hidup dengan baik sekali sebelum PRU-14 malah Johor seringkali dijadikan antara negeri contoh dan rujukan yang sangat penting kepada negeri-negeri lain.”

Dalam masa yang sama, Dr Zambry mengakui bahawa BN juga sentiasa mengadaptasi setiap yang berlaku dengan penambahbaikan dalam parti.

“Apa yang nak dihidangkan kepada rakyat… adakah kita nak hidangkan hasil daripada kemarahan kepada sesuatu setelah berdepan dengan politik fitnah sebelum ini? Apa yang pasti kita nak lakukan yang terbaik untuk rakyat.

“Bukan sahaja mengatakan pihak sana tapi dalam BN itu sendiri, dari segi keanjalan kita untuk lakukan perubahan setelah melalui pelbagai cabaran, lakukan perubahan, perbaiki kesilapan dan laksanakan yang lebih baik sebagaimana rakyat mahukan. Inilah yang BN ikhtiarkan iaitu kemajuan masa depan.”

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac sebagai tarikh pengundian bagi PRN Johor, manakala tarikh pengundian awal pada esok, 8 Mac.

Terdahulu, DUN Johor diterajui BN dengan dengan hanya kelebihan satu kerusi iaitu 28 yang merangkumi UMNO (14 kerusi), MIC (dua), Bersatu (11) dan PAS (satu), manakala Pakatan Harapan memiliki 27 kerusi iaitu DAP (14), PKR (tujuh) dan Amanah (enam). – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.