Melaka Bentang Kejayaan Akujanji 100 Hari Jumaat Ini

MELAKA, 7 Mac – Kerajaan negeri Melaka diterajui Barisan Nasional (BN) akan membentangkan pencapaian akujanji 100 hari yang ditawarkan semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) lepas, pada Jumaat ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata beliau akan memaparkan kejayaan 58 inisiatif yang dijanji dilaksanakan BN dalam satu majlis pada hari berkenaan.

“Pencapaian 100 hari tunggu hari Jumaat (ini). Berapa pencapaiannya, Jumaat minggu ini kita akan paparkan apa yang telah kita laksanakan seperti mana akujanji dalam kita punya manifesto.

“Kita tahu apa yang kita lakukan. Kita dah buat banyak benda, kita dah buat dah yang terbaik ikut akujanji kita,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Anugerah Projek/ Program Terbaik dan Anugerah Kajian Penilaian Outcome Melaka 2021 di sini, hari ini.

Sebelum ini, timbul dakwaan mengatakan kerajaan negeri tidak melaksanakan sepenuhnya akujanji bagi tempoh 100 hari.

Mengulas mengenai perkara berkenaan, Sulaiman berkata beliau tidak mempunyai hak untuk menghalang orang bercakap mengenai perkara itu.

“Bab khabar-khabar angin ini saya tak nak komen sebab dia tak tahu apa yang berlaku. Mereka tidak ada dalam lingkungan kami, sebab itu mereka boleh cakap apa saja mereka nak cakap,” katanya.

Pada PRN Melaka 20 Nov lepas, BN menang dengan majoriti dua pertiga selepas mendapat 21 kerusi berbanding Pakatan Harapan (lima kerusi) dan Perikatan Nasional (dua kerusi). – BERNAMA