Projek Mega RTS, HSR: Antara Formula BN Lonjakkan Ekonomi Bangsa Johor

DUA projek paling besar yang dirancang oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) Johor dahulu adalah Rapid Transit System (RTS) yang akan menyelesaikan masalah kesesakan di Tambak Johor serta High Speed Rail (HSR) yang akan menyambung Bandaraya Singapura ke Kuala Lumpur melalui Iskandar Puteri, Muar dan Batu Pahat.

RTS sepatutnya siap pada 2024 tetapi kini dijangka siap pada akhir 2026 disebabkan kelemahan urustadbir kerajaan Pakatan Harapan (PH).

HSR pula sepatutnya siap pada 2026 tetapi kini tidak diketahui statusnya akibat dasar tidak tetap PH yang diteruskan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Ini adalah satu kerugian yang sangat besar dan menjadi penyumbang kejatuhan prestasi ekonomi kerajaan Johor sejak 2018.

Sebagai contohnya pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Johor antara 2011 hingga 2017 adalah purata 5.9% setahun. Namun pada 2019, pertumbuhan KDNK negeri telah merosot kepada 2.7% – antara paling buruk di Malaysia.

Semua ini berlaku kerana dasar tidak konsisten dan lemah kedua-dua kerajaan PN dan PH.

Sedangkan pembangunan infrastruktur ini adalah pemangkin sebenar yang akan mencetus perkembangan ekonomi negeri.

Formula melaksanakan projek-projek infrastruktur mega bagi menghidupkan semula ekonomi pasca kegawatan adalah amalan semua negara hari ini.

Amerika Syarikat pada November tahun lepas meluluskan peruntukan sebanyak USD550 bilion bagi pembinaan infrastruktur awam termasuk lebuhraya, telekomunikasi, sistem perpaipan dan pengangkutan awam.

Semua ini adalah memastikan rakyat terus mempunyai kerja serta memberi keyakinan kepada rakyat bahawa ekonomi akan terus berkembang.

Kerana jika kerajaan terlalu berkira untuk berbelanja, maka rakyat juga akan takut untuk mengeluarkan wang daripada poket mereka.

Inilah antara punca yang akan memanjangkan krisis ekonomi.

Selain mencipta peluang pekerjaan berpendapatan tinggi ketika pembinaan, projek-projek HSR dan RTS ini juga akan menjadi kunci bagi mewujudkan pendapatan tinggi rakyat selepas ia siap dibina.

Contohnya perjalanan yang singkat antara Muar dan Kuala Lumpur dengan menggunakan HSR akan membolehkan penduduk Muar bekerja di ibu negara tanpa perlu meninggalkan kampung halaman. Ini akan menaikkan kuasa membeli setempat dan akan mencambahkan perniagaan di daerah tersebut.

Malahan projek ini juga sebenarnya akan menyelesaikan masalah kesesakan di bandar-bandar besar.

Laporan Bank Dunia pada 2014 mengatakan bahawa negara rugi RM20 bilion setahun disebabkan kesesakan di Kuala Lumpur sahaja.

Dengan HSR, ia akan mencetus ‘reverse migration’ di mana pekerja-pekerja di Kuala Lumpur boleh berpindah ke Ayer Keroh atau Muar tanpa meninggalkan pekerjaan sedia ada.

Inilah yang dipanggil sebagai ‘spillover effect’ yang akan memanfaatkan perniagaan dan rakyat.

Kerajaan juga akan mendapat untung melalui pelbagai jenis cukai yang akan dikenakan ke atas syarikat-syarikat yang membuka perniagaan mereka di sepanjang jajaran HSR.

Inilah formula kerajaan BN yang akhirnya akan mensejahterakan rakyat dan memastikan Kestabilan Masa Depan. – UMNO ONLINE

Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.