PM Rasmi Karnival Kerjaya Tawar Lebih 5,000 Kekosongan Jawatan Di Pontian

PONTIAN, 6 Mac – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini melancarkan Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia di sini, yang menawarkan lebih 5,000 jawatan kosong.

Karnival kerjaya itu diadakan sebagai usaha Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi menawarkan peluang pekerjaan secara langsung kepada orang ramai, khususnya di daerah Pontian dan kawasan sekitarnya.

Selain Pontian, karnival kerjaya berkenaan turut diadakan di Johor Bahru dan Mersing, masing-masing pada Khamis (3 Mac) dan semalam (5 Mac) yang dilaksanakan sepenuhnya secara fizikal.

Antara jawatan yang ditawarkan para majikan yang menyertai program itu termasuk jurutera, juruteknik, juru ukur bahan, tukang masak, pengurus akaun dan pemasaran, kerani serta perantis.

Perkeso dalam kenyataan menyatakan program berkenaan merupakan sebahagian inisiatif JaminKerja-Insentif Penggajian (JKIP), salah satu daripada tiga komponen di bawah inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia yang diumumkan kerajaan dalam Bajet 2022.

Kenyataan itu menyebut dengan peruntukan RM2 bilion, JKIP bermatlamat merangsang majikan mencipta pekerjaan dan membuat pengambilan pekerja baharu dengan sasaran 300,000 pekerja sepanjang tahun ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad dan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.