Kadar Dividen 2021 LTAT Sebanyak 4.1 Peratus

SEGAMAT, 6 Mac – Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) mengumumkan kadar dividen sebanyak 4.1 peratus bagi tahun 2021.

Perdana menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaako ketika mengumumkannya hari ini berkata ia merupakan kadar tertinggi sejak pentadbiran negara bertukar tangan pada 2018.

Beliau berkata ia merupakan hasil komitmen dan kesungguhan Kementerian Pertahanan, Angkatan Tentera Malaysia, LTAT dan semua pihak berkepentingan.

“Waktu Pakatan Harapan (PH) dividen rendah, sekarang tinggi semula di bawah kepimpinan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

“Insya-Allah dengan kepimpinan Datuk Seri Hishammuddin, tahun depan (2022) akan lebih tinggi lagi dividen,” katanya ketika merasmikan Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera di Kem Segamat di sini , hari ini.

Perdana Menteri berkata dividen berkenaan akan mula dibayar esok.

Katanya pendapatan LTAT juga meningkat kepada RM512.3 juta pada 2021 berbanding RM341.1 juta pada 2020.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata proses transformasi bagi pindaan Akta Tabung Angkatan Tentera (Akta TAT 101) yang bermula sejak 2019 melibatkan pindaan kepada dua perkara.

“Pertama, memberikan fleksibiliti agar pencarum tentera boleh memilih untuk meningkatkan kadar caruman syer pekerja atau individu lebih daripada 10 peratus, manakala yang kedua membenarkan pencarum memilih untuk terus menabung dengan LTAT walaupun sudah tamat perkhidmatan.

…seperti yang tuan-tuan tahu ketika ini sesiapa sahaja yang bersara daripada Angkatan Tentera perlu mengeluarkan keseluruhan wang caruman mereka di dalam caruman LTAT. Melalui pindaan ini ada dua perkara, nak keluar terus keseluruhan wang simpanan tersebut atau untuk meneruskan mencarum,” katanya.

Menurut Perdana Menteri, fleksibiliti untuk membenarkan pencarum mengekalkan tabungan di dalam LTAT walaupun selepas berpencen akan memberikan mereka peluang untuk terus menikmati hasil dividen.

Mengulas mengenai Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera Kem Segamat, beliau berkata ia mula dibina pada 24 April 2018 dengan kos sebanyak RM147.7 juta merangkumi 305 unit pelbagai kelas untuk kemudahan keluarga pegawai dan anggota pasukan Rejimen Keempat Artileri Diraja (RAD).

Perdana Menteri berkata Kementerian Pertahanan turut meluluskan pembinaan Fasa 2 Kem Segamat yang akan dilengkapi lebih banyak kemudahan termasuk pusat perubatan ATM, pejabat latih, bangunan guna sama seperti Wisma Bentara dan Wisma Perwira, kompleks logistik serta kompleks kenderaan. – BERNAMA