Tiada Idea, Kebernasan Unggul Di Dalam Parti-parti Baharu… Apatah Lagi Hikmah Berpolitik

DEMOKRASI membenarkan kebebasan dalam berekpressi dan bercita-cita.

Justeru penubuhan pergerakan politik mestilah demi melangsungkan cita-cita bangsa dan tanahair.

Ia wajar sarat dengan ideologi dan pemikiran baru, didasari idea yang lebih lunak, menyakin dan mempersonakan bangsa.

Rakyat tidak melihat semua itu dalam MUDA, Pejuang, Parti Bangsa Malaysia (PBM), Warisan atau parti baru yang lain.

Saya mengalu-alukan pergerakan dan aktivisme politik baharu, tetapi semua itu mestilah hadir dengan tawaran yang baharu dan konkrit.

Yang Malaysia perlukan ialah lonjakan baru bukan sekadar keramaian di pentas demokrasi.

Ada parti politik yang ideloginya seakan hanya pada usia. Seolah-olah pada mereka, usia adalah kunci menyelesaikan semua masalah Malaysia.

Namun di sebalik keremajaan dan idealisme mereka, rakyat masih tertanya-tanya misi besar apa yang sebenarnya mereka ingin persembahkan untuk rakyat Malaysia.

Sehingga sekarang, tiada ideals luar biasa. Tiada visi konkit. Malah tiada kelainan kecuali ‘usia’ untuk Malaysia lebih mapan, maju dan sejahtera?

Ada pula yang bercakap tentang ‘GREAT RESET’ tetapi kosong dengan intipati. Malah berikrar pula bahawa mereka akan menyokong parti yang menang untuk membentuk Kerajaan.

Ini rupanya “GREAT RESET” mereka.

Yang satu lagi nampaknya ditubuhkan hanya untuk ‘melenyapkan hayat politik individu dan parti tertentu’. Hanya inikah selayaknya sebuah perjuangan?

Dan ada juga yang cuba mengajar kita dengan model baru ‘multiculturalism’. Kononnya model mereka adalah model terbaik.

Tetapi mereka sendiri gagal membentuk Kerajaan di persada negeri mereka kerana tawaran mereka bukanlah sesuatu yang baru.

Lebih penting, adakah mereka jahil tentang model Bangsa Johor iaitu sebuah masyarakat yang bersatu padu dan bermuafakat?

Memajukan negara ini memerlukan idea dan kebijakan. Namun idea dan kebijakan mesti seiring struktur, pengalaman dan hikmah politik. Semua ini membentuk ‘institusi politik’.

Kebanyakan parti politik baru ini ialah bukan sahaja tidak punya idea dan kebernasan unggul, tetapi juga tidak punya struktur dan pengalaman apa lagi hikmah dalam politik.

Akhirnya mereka hanya sebuah parti politik terdaftar dan hidup dibuai dan dilambung sentimen.

Tidak lebih dari itu. – UMNO ONLINE

Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin
Naib Presiden UMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.