RUU Profesion Arkitek Landskap Dalam Fasa Terakhir – Reezal Merican

JOHOR BAHRU, 5 Mac – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) kini dalam fasa terakhir bersama Jabatan Peguam Negara untuk mengemukakan Rang Undang-Undang (RUU) Profesion Arkitek Landskap.

Menteri berkenaan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata rang undang-undang itu akan dikemukakan sebagai satu kerangka untuk memajukan lagi profesionalisme arkitek landskap di negara ini.

“Perkara ini penting bagi membolehkan kerjaya sebagai profesion arkitek landskap dibangunkan dengan lebih sistematik sepertimana profesion yang lain.

“Ini kerana membangunkan landskap ini perlu ada ilmu, perlu ada jiwa, perlu ada pengalaman yang dibina dalam tempoh masa tertentu bagi menjadikannya lebih indah, bermakna dan menambat hati yang melihatnya,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada sambutan Hari Landskap Negara 2022 (HLN2020) di Taman Bandar Ekoflora, Johor Bahru, di sini hari ini.

Selain itu, Reezal Merican berkata KPKT sedang melihat beberapa model pembangunan industri landskap dan bunga-bungaan untuk mengembangkan sektor itu sebagai sebuah industri bernilai tinggi.

Katanya ia termasuk bekerjasama rapat dengan pelbagai agensi dan kementerian seperti Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) serta Kementerian Kerja Raya.

“Melihat kepada evolusi 25 tahun pembangunan landskap di negara ini, sudah tiba masanya untuk melihat landskap dan bunga-bungaan ini dalam kerangka industri baharu yang menjadi bidang pertumbuhan baharu kepada negara.

“Ini sememangnya industri yang belum diterokai yang berupaya mencipta pelbagai peluang perniagaan, pekerjaan dan juga kajian-kajian akademik,” katanya.

Menurut Reezal Merican berdasarkan permintaan pasaran dunia yang tinggi dengan kadar peningkatan tahunan sebanyak enam peratus, potensi perkembangan industri landskap dijangka dapat menjana ekonomi kepada negara sehingga RM509 juta setahun.

Malah katanya Malaysia juga mempunyai potensi nilai tinggi sebagai pengeluar biji benih bunga khusus untuk negara iklim tropika ke pasaran dunia. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.