RM4.11 Bilion Untuk Naik Taraf Kualiti, Infrastruktur Telekomunikasi Johor

BATU PAHAT, 4 Mac – Sebanyak RM4.11 bilion diperuntukkan bagi menaik taraf kualiti dan infrastruktur telekomunikasi serta jaringan digital di seluruh negeri Johor, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata ia melibatkan Fasa Satu program Jalinan Digital Negara (JENDELA) dengan perbelanjaan RM589 juta yang sedang dilaksanakan ketika ini manakala Fasa Dua akan disambung pada awal tahun depan.

“Johor merupakan negeri mempunyai potensi sangat besar dalam bidang industri kreatif dan juga dari aspek penyertaan usahawan-usahawan mikro kecil dan sederhana bagi melibatkan diri dalam program digital yang menjadi keutamaan kerajaan ketika ini.

“Ia juga untuk membolehkan Johor bergerak ke hadapan dengan memanfaatkan sepenuhnya ekonomi digital agar prasarana telekomunikasi di Johor dapat dipertingkatkan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan program Riuh Ek! Keluarga Malaysia di Arena Warna, Ayer Hitam di sini malam ini.

Beliau berkata selain itu, sebanyak 222 pemancar baharu di Johor akan dinaik taraf manakala 109 pemancar sudah siap dibina selain 113 lagi dalam proses pembinaan.

“Pada masa ini kementerian menyasarkan untuk mencapai 413,000 rumah atau premis mendapat perkhidmatan gentian optik, yang menyaksikan 246,901 telahpun siap dan 166,593 sedang dalam pembinaan.

“Johor akan menerima jumlah Point of Presence (PoP) antara paling tinggi menjadikan 623 PoP. Dengan perbelanjaan kira-kira RM934 juta dan ini akan mempersiapkan Johor bergerak ke hadapan sebagai negeri yang berada di saf hadapan bukan sahaja dalam industri kreatif juga ekonomi digital,” katanya.

Terdahulu, Annuar sempat meluangkan masa melawat gerai jualan barangan kreatif, cemil-cemilan (snacks), buah-buahan, persembahan seni dan muzik, bengkel kreatif, pameran seni serta kios jualan serta menyantuni orang ramai yang menghadiri program Riuh Ek!.

Ayer Hitam, Johor menjadi lokasi pertama jelajah Program Riuh Keluarga Malaysia pada 2022.

Program yang diadakan selama tiga hari sehingga esok bertujuan memperkasa dan mendukung usahawan kreatif serta pengamal seni tempatan.

Program anjuran Kementerian Komunikasi dan Multimedia itu turut komited menggiatkan semula landskap industri kreatif tempatan yang terjejas berikutan pandemik COVID-19 sejak wabak itu melanda pada 2020. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.