Syarikat Telekomunikasi Diminta Beri Kerjasama Tingkatkan Kualiti Internet – Annuar

KUALA LUMPUR, 2 Mac – Syarikat telekomunikasi diminta memberi kerjasama dengan kerajaan dalam memastikan kualiti Internet dalam negara pada tahap terbaik untuk pengguna.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata kerajaan telah menyediakan prasarana untuk syarikat berkenaan memberikan perkhidmatan terbaik dan mereka tidak seharusnya mengejar keuntungan semata-mata tanpa mementingkan kualiti.

“Semua kena kerjasamalah, jangan tahu nak untung sahaja, kerajaan dah adakan prasarana dan sebagainya. Saya memang suka tengok syarikat untung, kalau syarikat untung, kerajaan pun akan dapat (hasil) daripada cukai.

Tetapi dalam untung itu, tolong labur baliklah supaya adil kepada pengguna, rakyat di luar sana. Jadi, nak melengkapkan soal kualiti bekalan Internet ini, ekosistemnya besar dan semua orang kena main peranan,” katanya pada program Responsif dengan tajuk “Internet Slow!” terbitan RTM, malam tadi.

Dua tetamu lain dalam program tersebut ialah Ketua Pegawai Operasi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) Datuk Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus dan artis Mohd Ashraf Muslim.

Annuar juga berkata syarikat telekomunikasi, MCMC dan pihak berkenaan perlu sentiasa berkomunikasi dengan pengguna bagi memahami masalah mereka berkaitan Internet.

“Soal ketidakpuasan hati pengguna jangan pandang sebelah mata sebab tidak mustahil di luar sana kerana mengejarkan keuntungan, strategi pemasaran, kempen berbagai-bagai tetapi yang diberikan kepada pengguna tidak seperti yang dijanjikan,” katanya.

Pada 25 Feb, Annuar berkata Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) telah mengarahkan MCMC untuk membuat pemantauan secara rambang terhadap syarikat telekomunikasi bagi memastikan kualiti pengalaman perkhidmatan komunikasi terus berada pada paras terbaik.

Beliau berkata tindakan itu perlu diambil supaya inisiatif bagi menggalakkan orang ramai menggunakan platform digital dan teknologi terkini tidak terencat.

Katanya lagi, audit prestasi perlu berjalan secara berterusan dan MCMC perlu sentiasa menghubungi semua syarikat telekomunikasi untuk membuat penambahbaikan bagi mencapai kelajuan yang ditetapkan. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.