PM Lawat Penduduk Terlibat Banjir Di Hulu Terengganu, Sampaikan Wang Ihsan

KUALA BERANG, 2 Mac – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini menyampaikan sumbangan wang ihsan kepada penduduk terjejas akibat banjir, dalam lawatannya ke pusat pemindahan sementara (PPS) Kampung Batu 23 di sini, hari ini.

Beliau tiba di PPS berkenaan pada 2.15 petang dengan diiringi Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa, Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

“Sebanyak RM1,000 bantuan wang ihsan.. dan RM2,500 untuk membeli barangan keperluan rumah. Kemudian untuk baiki rumah semua, adalah lagi… seperti saya umum dahulu, sama sahaja,” katanya ringkas kepada pemberita di PPS berkenaan.

Beliau berkata jika dicampur semua bentuk bantuan berkenaan termasuk baucar pembelian barangan, nilai yang diterima setiap isi rumah mencecah hampir RM10,000.

Hari ini 76 ketua isi rumah menerima wang tunai RM1,000 bagi meringankan beban ditanggung susulan banjir besar yang melanda daerah itu Ahad lepas.

Perdana Menteri meluangkan masa kira-kira setengah jam beramah mesra dengan orang ramai, sebelum menyampaikan sumbangan berkenaan kepada mangsa banjir.

Hulu Terengganu merupakan daerah paling teruk terjejas akibat banjir, susulan beberapa kawasan yang sebelum ini tidak pernah dinaiki air, turut terlibat kali ini, sehingga menyebabkan kerosakan harta benda yang serius.

Setakat pukul 2 petang tadi, jumlah penduduk yang dipindahkan ke 68 PPS di daerah Kemaman, Hulu Terengganu, Dungun, Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Setiu, berjumlah 15,317 orang daripada 4,011 keluarga. – BERNAM