Kadar Liputan Jalur Lebar 4G Di Melaka Terus Meningkat

MELAKA, 2 Mac – Kadar liputan jalur lebar 4G bagi kawasan berpenduduk di Melaka meningkat kepada 99.63 peratus pada suku keempat tahun lepas berbanding 95.50 peratus pada suku pertama 2020, kata Exco Pendidikan dan Teknologi negeri Datuk Rais Yasin.

Beliau berkata ia susulan tumpuan dan pemantapan insfrastruktur digital menerusi pelaksanaan inisiatif pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) 2020-2022 dengan kerjasama kerajaan negeri, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Melaka ICT Holdings Sdn Bhd dan pemain industri telekomunikasi.

“Pada tempoh yang sama, kadar liputan 4G oleh semua syarikat pengendali telekomunikasi (telcos) telah mencapai 99.63 peratus sepanjang tahun lepas dengan kadar purata kelajuan jalur lebar mudah alih turut meningkat kepada 33.24 Mbps pada suku keempat 2021 berbanding 19.89 Mbps pada suku pertama 2020,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Keroh Kerk Chee Yee yang bertanya mengenai liputan 4G (dari segi peratusan kawasan) setiap pengusaha telekomunikasi, perancangan pelaksanaan dalam peningkatan liputan serta status pelaksanaan pembangunan 5G di Melaka.

Rais berkata bagi pecahan mengikut daerah pula, perkhidmatan telcos di Alor Gajah mencatat 99.38 peratus, Melaka Tengah (99.99 peratus) dan Jasin (98.66 peratus).

Beliau berkata selain itu, 240,877 atau 86.3 peratus premis perniagaan dan perumahan daripada keseluruhan premis di negeri ini juga telah mendapat akses gentian optik berkelajuan tinggi.

“Justeru, bagi memantapkan lagi pelaksanaan inisiatif JENDELA 2020 sejumlah 30 menara baharu akan dibina dan 144 stesen pemancar dinaik taraf kepada 4G,” katanya.

Katanya menerusi Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) pula, kerajaan negeri menyasarkan ia dibina bukan hanya di kawasan luar bandar tetapi di setiap DUN.

“Setakat ini ada 30 PEDi dengan sembilan sedang dibaiki dan dinaik taraf yang dijangka siap tahun ini,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.