Banjir Kilat: Akan Usahakan Yang Terbaik Atasi Masalah Rakyat- Rais

PAYA RUMPUT, 2 Mac – Banjir kilat yang berlaku di Taman Paya Rumput Indah mendapat tumpuan dan perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput, Datuk Rais Yasin yang turun sendiri meninjau kawasan berkenaan.

Setelah mendapat maklumat berkaitan banjir kilat berkenaan, beliau bersama wakil MBMB dan pimpinan setempat yang lain turun padang bagi meninjau keselatan dan segala keperluan rumah-rumah yang terlibat.

“Selesai melawat kawasan banjir kilat yang berlaku di Taman Paya Rumput Indah dan sebanyak lapan buah rumah yang terlibat.

“Saya juga bersama wakil MBMB Ir. Fahmi dan En Mirandi serta Tok Penghulu Japerun Paya Rumput datang melawat mangsa-mangsa yang terlibat. Insya-Allah kami akan berusaha untuk menyelesaikan masalah banjir ini dengan secepat mungkin. Semoga segala urusan dipermudahkan,” katanya kepada UMNO-Online.

Masalah banjir yang merupakan antara tumpuan beliau pada kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka baru-baru ini sememangnya telah lama berlaku dan pelbagai usaha akan dilaksanakan dalam usaha mengatasi masalah tersebut.

“Kita faham dan amat merasai bagaimana perkara ini berlaku menyebabkan kerosakan kepada harta benda dan sebagainya. Insya-Allah kita akan memberi tumpuan dan mengambil soal ini secara serius supaya ianya tidak mendatangkan masalah kepada penduduk setempat.

“Masalah ini sememangnya dekat dengan kita dan berharap segala-galanya akan selesai. Kita akan lakukan yang terbaik untuk penduduk setempat,” ujarnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.