Prestasi Kerajaan Negeri Melaka Lepasi Sasaran – Sulaiman

MELAKA, 1 Mac – Pencapaian 100 hari pentadbiran kerajaan negeri Melaka bermula 21 Nov lepas hingga semalam (28 Feb) sudah melepasi tahap sasaran iaitu 98.60 peratus, kata Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Beliau berkata kerajaan negeri akan membentangkan perincian berkenaan perkara itu pada satu majlis khas dalam waktu terdekat.

“Kerajaan negeri juga bersetuju memperkenalkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dan kad laporan kepada semua ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, dan prestasi ahli Yang Berhormat akan dinilai berdasarkan KPI dan kad laporan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi pembentangan usul sempena Persidangan Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke-15 di Seri Negeri di sini hari ini.

Sulaiman berkata bagi meningkatkan kemahiran dan keupayaan, satu bengkel intelektualiti serta personaliti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) telah diadakan sebagai usaha memberi kefahaman berhubung peranan dan tanggungjawab, terutama kepada yang pertama kali dipilih sebagai wakil rakyat.

Menyentuh mengenai prestasi ekonomi, Sulaiman berkata situasi COVID-19 telah memberi kesan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) terutama melibatkan sektor perhotelan, peruncitan dan pelancongan.

Katanya Melaka mencatatkan penyusutan KDNK daripada positif 2.9 peratus kepada negatif 5.9 peratus iaitu berjumlah RM41.03 bilion pada 2020 berbanding RM43.61 bilion pada 2019.

“Bagaimanapun kadar pengangguran di Melaka masih rendah berbanding negara yang mencatatkan 4.3 peratus iaitu ketiga terendah selepas Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Selangor,” katanya.

Berhubung pelaburan pula, Sulaiman berkata 2021 mula menunjukkan sinar positif kepada negeri berkenaan meskipun negara masih berdepan pelbagai cabaran.
“Melaka masih menjadi destinasi pelaburan pilihan para pelabur dan menerusi laporan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), sepanjang Januari hingga September 2021, sebanyak 111 projek telah diluluskan, melibatkan jumlah pelaburan RM4.8bilion,” katanya.

Katanya bagi memastikan pembangunan berjalan lancar dan sasaran KPI dicapai, semua perancangan inisiatif serta projek yang disenaraikan dalam dokumen Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya (PSMJ) 2035 dipantau secara telus melalui sistem Melaka Laksana dan semakan pencapaian setahun. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.